Anda di sini

Hari Terbuka Akademik dedah kelebihan menuntut di UPMKB

Advertisement
 Seramai 400 pengunjung terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan STPM serta ibu bapa mengunjungi Hari Terbuka Akademik UPMKB pada Sabtu lepas.
JADI TUMPUAN: Seramai 400 pengunjung terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan STPM serta ibu bapa mengunjungi Hari Terbuka Akademik UPMKB pada Sabtu lepas.

DALAM usaha mempergiat penglibatan Universiti Putra Malaysia (UPM) secara langsung dengan masyarakat setempat serta memberi peluang kepada calon pelajar untuk mengetahui berkenaan pengajian di UPM, program Hari Terbuka Akademik UPM Kampus Bintulu (UPMKB) telah diadakan di Dewan Sri Kenyalang kampus universiti itu Sabtu lepas.

Jurucakap UPMKB berkata, program itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang bertujuan untuk mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di UPMKB di samping memperkenalkan universiti itu sebagai pilihan destinasi pengajian tinggi kepada masyarakat setempat.

Program yang telah dirasmikan Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan Profesor Madya Dr Shahrul Razid Sarbini.

Seramai 400 pengunjung terdiri daripada guru-guru sekolah, ibu bapa, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM serta pelajar UPMKB sedia ada telah mengunjungi program hari terbuka tersebut.

Beliau berkata, pelajar yang mengunjungi hari terbuka itu adalah dari beberapa bahagian negeri ini melibatkan Limbang, Miri, Bekenu, Mukah, Balingian, Tatau, Sibu, Kapit, Sarikei, Kuching dan Tawau (Sabah).

“Penganjurannya bertujuan untuk merancakkan aktiviti UPM secara langsung bersama masyarakat setempat serta memberi peluang kepada calon pelajar untuk mengetahui secara terperinci mengenai peluang melanjutkan pengajian di UPM dan UPMKB,” ujar jurucakap UPMKB di Bintulu, kelmarin.

Katanya, melihat kepada kejayaan penganjuran program itu, UPMKB akan menjadikan program tersebut sebagai program tahunan selepas pengumuman keputusan SPM dan STPM pada masa akan datang.

“Antara jurusan pengajian yang ditawarkan di UPMKB ialah Bacelor Sains Bioindustri, Bacelor Sains Perhutanan (Perhutanan Ladang), Bacelor Pertanian (Akuakultur), Diploma Pertanian, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, Diploma Perhutanan, Diploma Perikanan, Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan, Diploma Perniagaantani, Diploma Kejuruteraan Pertanian dan Persediaan Diploma Sains,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, aktiviti yang menjadi tumpuan pada hari terbuka itu juga adalah sesi taklimat kemasukan pelajar dan syarat program, pameran program akademik prasiswazah, pameran program Pengajian Jarak Jauh(PJJ), pameran program pengajian Master dan PhD.

Selain itu katanya, ujian personaliti juga disediakan untuk membantu pelajar memilih bidang pengajian yang sesuai dengan kecenderungan minat mereka termasuk aktiviti jualan hasil segar dari ladang seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil ternakan unggas, hasil ternakan ikan, jualan anak pokok tanaman dan sebagainya.

Katanya, UPM menyediakan saluran kemasukan secara dalaman untuk pengambilan pelajar ke program Persediaan Diploma Sains, Diploma dan Bacelor bagi kategori tertentu melalui sistem pengambilan dalaman UPM di laman sesawang https://smp.upm.edu.my/dalaman sehingga 30 April.

“Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut berhubung kemasukan ke program pengajian di UPMKB boleh menghubungi Carolyne di talian 086-855684 atau Puspasari di talian 086-855263,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement