Anda di sini

Curi wang RM2,100, warga asing dipenjara 14 bulan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan mencuri wang sebanyak RM2,100.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Milham Wahid selepas mengaku salah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh melakukan kesalahan terbabit bersama dengan seorang yang masih bebas, pada 2 Mac jam 3.30 petang di sebuah kedai, Inanam di sini.

Semasa rayuan, Milham yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana mempunyai tiga anak.

Setelah selesai menjalani tempoh pemenjaraan, tertuduh diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Majistret Afiq Agoes menetapkan pengurusan kes pada 25 April terhadap seorang lelaki tempatan yang didakwa mengugut ayahnya berusia 56 tahun.

Keputusan itu dilakukan terhadap Nikizwan Sajani, 31, yang diwakili peguam Michelle Rossana Usman selepas mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ayahnya sehingga menimbulkan ketakutan, pada 29 Mac jam 8.30 malam di Kampung Likas Lama, di sini.

Jika sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Insp Lim Swee Beng meminta tertuduh tinggal berasingan dengan ayahnya dan memohon mahkamah memberikan arahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah memberikan Nikizwan ikat jamin sebanyak RM2,000 dicagarkan dua penjamin yang merupakan ahli keluarganya dan diperintahkan tidak mengganggu mangsa.

  • oleh
  • Advertisement