Anda di sini

Jangan guna #MeToo untuk ‘hancurkan kreativiti’ ~ Thurman

Advertisement
 

AKTRES Amerika Syarikat Uma Thurman berkata pergerakan #MeToo sedang mengubah Hollywood ke arah kebaikan tetapi memberi amaran bahawa ia tidak harus digunakan untuk “menghancurkan kreativiti orang”.

Bintang filem-filem ‘Pulp Fiction’ dan ‘Kill Bill’ itu, dengan anak perempuannya, aktres Maya Hawke yang akan muncul dalam filem baharu arahan Quentin Tarantino, ‘Once Upon a Time in Hollywood’, berkata pergerakan itu merupakan “pembetulan yang sudah lama tertangguh” kepada layanan terhadap wanita dalam industri perfileman.

“Saya begitu gembira mengenainya terutamanya kerana saya ada seorang anak perempuan berusia 20 tahun yang telah memutuskan untuk menyerahkan kehidupannya kepada filem, televisyen dan teater,” katanya.

Namun aktres itu, yang berlakon dalam satu program baharu Netflix ‘Chambers’, yang mengadakan tayangan perdana minggu lepas di festival Series Mania di bandar raya Lille, utara Perancis, memberi amaran tentang tindak-tanduk yang ekstrim.

“Dalam cara tertentu, saya tidak mahu ini menghan-curkan kreativiti orang,” katanya kepada pemberita.

- ‘Tidak mahu ditangkap’ -

“Ia tetap bagus untuk jatuh cinta dengan pelakon utama anda dan tidak ditangkap,” tambah Thurman, yang merujuk kepada perkah-winannya dengan rakan pelakon Ethan Hawke, yang dia kenali dalam filem ‘Gattaca’ pada 1997.

Thurman, 48, sebelum itu berkahwin dengan bintang Inggeris Gary Oldman selepas mengenali di set penggambaran ‘State of Grace’.

“Saya rasa kita sedang beralih daripada sebuah tempat yang sangat jahil ke tempat yang lebih baik dan lebih kreatif berdasarkan sikap hormat,” kata aktres itu.

Dia berkata kesan #MeToo “ternyata menghasilkan persekitaran kerja yang lebih baik bagi wanita. Terdapat begitu banyak situasi di mana kita tidak mungkin berada dalam persekitaran kerja yang lebih teruk – saya tarik balik, sebenarnya kita mungkin dapat – tetapi kita perlu selamat daripada perkara seperti itu. Ia ternyata lebih selamat,” katanya.

“Saya mengalami 12 jenis PTSD (Masalah Pasca Tekanan Traumatik) dengan hanya menonton diri saya sekarang,” katanya sambil bergurau selepas dia melihat filem bagi kerja awalnya.

Thurman – yang membawa watak seorang ibu yang bersedih dalam siri seram ghaib baharu Netflix yang akan mula striming pada bulan depan – berkata #MeToo sudah “membawa kelainan” kepada jenis watak yang sedang ditulis untuk wanita.

“Terdapat banyak lagi watak tulen dan kita tidak hanya duduk sambil bercakap mengenai lelaki, tetapi saya mengakui saya bercakap tentang lelaki sepanjang masa,” tambahnya.

Perkara yang ironis, katanya, “ia nampaknya bagi saya bahawa sebelum Pembebasan Wanita, selalunya terdapat watak yang lebih bagus untuk wanita dalam filem-filem Betty Davis” dan seumpamanya berbanding pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Thurman, yang membuat penampilan sulungnya di atas skrin besar sebagai Venus dalam filem arahan Terry Gilliam ‘The Adventures of Baron Munchausen’ ketika dia baharu berusia 16 tahun, berkata bekerja bersama Tarantino merupakan perkara terbaik dalam kariernya setakat ini.

“Saya benar-benar rasa diberkati selepas bekerja dengannya. Dia begitu genius sekali.”

Namun dia juga membela pengarah kontroversi dari Denmark, Lars von Trier, pengarah filem mengejutkan yang terbaharu ‘The House That Jack Built’, yang dilihat sebagai menunjukkan jari tengah kepada pergerakan #MeToo.

Thurman, yang membawa watak mangsa pertama pembunuh bersiri yang membenci wanita berkenaan, mengakui ia mungkin sukar untuk bekerja dengan pengarah itu, selepas dia turut berlakon dalam filemnya yang terkenal pada 2013 ‘Nymphomaniac’.

“Saya rasa dia lucu. Bahannya sukar, dan ia sukar untuk saya buat tetapi dia adalah seorang artis yang tulen. Saya menghormatinya,” katanya. —  AFP

Advertisement