
KUCHING: Bidang e-dagang mampu meningkatkan pendapatan para usahawan kerana akses pasaran yang luas tanpa sempadan dengan kos pengurusan rendah.
Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Lester Matthew berkata lebih 12 peratus pengguna Internet menggunakan Internet untuk tujuan e-dagang.
Di peringkat global pula katanya, bidang e-dagang telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif iaitu antara 13 peratus hingga 25 peratus pada 2018.
“Malahan di Malaysia, pelaburan dalam e-dagang menjadi sangat popular selaras dengan peningkatan penggunaan Internet dalam urusan perniagaan yang kini telah mencecah 15.3 juta orang dan dijangka jumlahnya akan terus meningkat dengan kadar yang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penjenamaan Korporat dan Pelancaran Platform Atas Talian BeGO di Hab Inovasi ICUBE di ICOM Square dekat sini semalam.
Lester yang hadir mewakili Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais menambah, pembangunan e-dagang bukan hanya didorong kepesatan rangkaian Internet malah ia disokong pelbagai platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan secara atas talian.
Platform-platform ini katanya, telah memudahkan sesiapa sahaja melakukan perniagaan atas talian seperti Zalora, Lazada dan banyak lagi platform membeli-belah secara atas talian yang sangat terkenal.
“Kewujudan platform e-pasaran seperti ini telah menggalakkan urusan penjualan dan pembelian secara atas talian.
“Ia menjadi pilihan utama masyarakat masa kini kerana ia menjimatkan masa, lebih selesa, mempunyai pelbagai pilihan barangan pada harga lebih murah serta boleh dilakukan pada bila-bila masa,” ujarnya.
Bercakap mengenai penjenamaan dan pelancaran platform BeGO daripada BeliBeli24, Lester percaya ia amat bertepatan dengan perkembangan pesat industri e-dagang di peringkat tempatan.
Platform e-dagang BeGO dijenamakan daripada BeliBeli24 yang dibangunkan oleh syarikat tempatan Sarawak iaitu Solaku Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya Mohd Hisham Khairul Nasir.
Bermula dengan platform BeliBeli24 pada 2017 yang menawarkan perkhidmatan penghantaran menerusi aplikasi atas talian, BeliBeli24 bergerak aktif di sekitar Sibu dan Bintulu sebelum diperluaskan ke Miri dan Kuching.
Tahun ini Menurut Hisham, syarikatnya menerusi platform BeGO memperluaskan lagi produknya dengan cara pembayaran yang lebih mudah serta penghantaran yang lebih cepat.