Anda di sini

Mafidz lancar album sulung ‘Ada Angin & Hati’ untuk peminat

Advertisement
 Mafidz bekerjasama dengan lima orang pemuzik profesional sebagai pemain tetap Mafidz yang menggunakan alat muzik seperti double bass, piano, gitar elektrik, perkusi dan cello. — Gambar ihsan Mafidz
KOLABORATIF: Mafidz bekerjasama dengan lima orang pemuzik profesional sebagai pemain tetap Mafidz yang menggunakan alat muzik seperti double bass, piano, gitar elektrik, perkusi dan cello. — Gambar ihsan Mafidz

KUMPULAN Mafidz mengadakan persembahan pertama mereka untuk peminat di Angkasa Space, Cheras pada 23 Mac lalu, sekaligus melancarkan album sulung yang berjudul ‘Ada Angin & Hati’.

Kumpulan nyanyian tersebut yang dianggotai oleh tiga beradik berbakat besar, Megat Hafidz, Megat Fazly dan Megat Aizzat tidak menyangka mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan tiket untuk persembahan itu habis dijual.

“Kami sangat bersyukur kerana ramai yang datang ke showcase solo pertama ini. Terima kasih peminat dan semua yang hadir. Terima kasih juga kepada semua pihak termasuk media yang telah mendukung kami dan menjayakan persembahan ini. Kami berusaha untuk tetap tulus dalam berkarya dan berharap muzik Mafidz akan terus diterima baik,” ujar Mafidz dalam satu kenyataan.

Kumpulan Kolar Hijau dan Margasatwa telah membuka tirai persembahan sebelum Mafidz tampil menghiburkan para hadirin dengan menyanyikan kesemua lapan lagu dari album mereka.

Mafidz turut memberi kejutan kepada para hadirin dengan mempersembahkan lagu baru bertajuk ‘Senandung’, hasil ciptaan mereka yang dinyanyikan secara duet bersama penulis lirik, Otam. ‘Senandung’ mengisahkan tentang sikap seseorang yang bersangka baik dalam menghadapi cabaran dan dugaan dunia.

Disiapkan dalam tempoh hanya empat bulan, album ‘Ada Angin & Hati’ memuatkan lapan buah lagu termasuk ‘Apa Jua Ceritanya’, ‘Bila Kau Dengar’ dan juga single pertama mereka ‘Igauku’.

Dengan berkonsepkan kehidupan dan sifat manusia, album ini membicarakan banyak hal antaranya tentang perasaan dan tindakan setiap insan.

Selain itu, penggunaaan bahasa yang bersahaja dalam senikata lagu-lagu Mafidz bertujuan supaya mesej dalam lagu mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“Banyak hal yang terjadi sepanjang proses pembikinan album pertama ini. Dengan masa dan equipment yang terhad, kami cuba untuk melahirkan karya yang berkualiti tinggi hasil sepenuhnya dari home studio kami sendiri. Untungnya, kami tinggal serumah dan ini memudahkan kami untuk meluangkan masa bekerja bersama-sama,” kata Megat Hafidz vokalis kumpulan Mafidz.

Sejak album ‘Ada Angin & Hati’ diterbitkan pada September 2018, album ini telah mendapat sambutan positif dari pendengar dan pengkritik muzik luar serta tanah air.

Membawa genre ‘Folk-Pop’ serta gabungan unsur-unsur muzik Nusantara, Mafidz mempunyai keinginan untuk memberi warna ke dalam industri muzik tempatan.

“Dengan kehadiran Mafidz, kami berharap muzik akan sentiasa menjadi salah satu cara untuk kita membawa pemikiran ke arah yang positif dan sedar bahawa seni dapat menyatukan,” kata Megat Aizzat, vokalis dan pemain cajón.

Untuk perkembangan terkini dan mengenali Mafidz dengan lebih dekat, boleh layari laman sosial mereka di Instagram (@mafidzofficial), Twitter (@mafidzofficial) dan Youtube (MAFIDZ OFFICIAL).

Advertisement