Anda di sini

Khidmat pemburu berlesen diguna tangkap buaya di Batang Kayan

Advertisement
Antara buaya yang ditangkap di Batang Kayan

KUCHING: Bimbang akan ancaman buaya yang populasinya semakin bertambah di Batang Kayan, penduduk Kampung Selampit, Lundu bertindak menggunakan khidmat pemburu berlesen untuk menangkap reptilia ganas itu.

Penghulu Longer Mised, 57, berkata, kehadiran buaya di situ memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk terutamanya golongan nelayan.

"Boleh saya katakan setiap hari kami di sini melihat buaya-buaya ini timbul di permukaan sungai.

"Malah, jumlahnya semakin hari semakin banyak menyebabkan kami rasa takut untuk turun ke sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Longer, reptilia itu bukan sahaja memberi ancaman keselamatan penduduk tetapi menjejaskan sumber pencarian nelayan di situ.

Bangkai buaya dipotong sebelum ditanam

"Setiap bubu dan jaring untuk menangkap ikan di sungai ini semuanya rosak kerana diganggu buaya ini.

"Lebih menyedihkan kami, seorang penduduk di sini pernah diserang buaya dan sebab itulah kami terpaksa menggunakan khidmat pemburu berlesen untuk menangkap buaya-buaya ini," jelasnya.

Melalui khidmat pemburu berlesen itu, katanya, sebanyak empat ekor buaya dianggarkan bersaiz 12 hingga 18 kaki berjaya ditangkap pada Sabtu.

"Daripada berpuluh kail yang dipasang sejak dua hari lalu, kita berjaya menangkap empat ekor buaya," dedahnya.

Empat buaya yang ditangkap kemudian dibunuh. Difahamkan, daging buaya turut dilapah dan dibahagikan sesama penduduk.

"Ada yang makan daging buaya ini mereka ambil untuk makan tetapi yang selebihnya kami tanam," jelasnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement