Anda di sini

‘Mek pomen’ gigih terokai bidang automotif

Advertisement
 Nur Izzatie (kiri) bersama rakan Muhammad Khairul Ikhwan Mohd Ariff (dua, kanan) dan Irwan Hakimi Mazalan memeriksa palam pencucuh pada kenderaan ketika ditemui di Tesdec , di Marang, kelmarin. — Gambar Bernama
GADIS AUTOMOTIF: Nur Izzatie (kiri) bersama rakan Muhammad Khairul Ikhwan Mohd Ariff (dua, kanan) dan Irwan Hakimi Mazalan memeriksa palam pencucuh pada kenderaan ketika ditemui di Tesdec , di Marang, kelmarin. — Gambar Bernama
 Nur Izzatie (tengah) bersama rakan memasang ‘gear box’ kenderaan ketika ditemui di Tesdec, Marang, kelmarin. — Gambar Bernama
GIGIH: Nur Izzatie (tengah) bersama rakan memasang ‘gear box’ kenderaan ketika ditemui di Tesdec, Marang, kelmarin. — Gambar Bernama
 Nur Izzatie tidak kekok untuk berada di bawah kenderaan bagi memeriksa komponen kenderaan yang rosak ketika ditemui di Tesdec, Marang, kelmarin. — Gambar Bernama
BERANI: Nur Izzatie tidak kekok untuk berada di bawah kenderaan bagi memeriksa komponen kenderaan yang rosak ketika ditemui di Tesdec, Marang, kelmarin. — Gambar Bernama

TIDAK ramai gadis bersedia berdamping dengan minyak hitam, memegang peralatan berat dan digelar ‘mek pomen’.

Namun, bagi Nur Izzatie Mohd Azlan, 19, minat yang mendalam terhadap bidang automotif menjadikan dirinya cekal malah enjin kereta mahupun pelbagai aksesori di dalamnya bagaikan sesuatu yang unik untuk diterokai.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar perempuan dengan dikelilingi  24 pelajar lelaki yang mengikuti kursus Sijil Perkhidmatan Automotif di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), di Marang, Terengganu.

“Sejak kecil, saya memang berminat dengan kenderaan terutama pacuan empat roda dan gembira kerana keluarga tidak pernah menghalang minat saya ini malah menyokong keputusan saya untuk mengikuti kursus ini sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Sebelum ni saya tak pernah lagi bekerja di mana-mana bengkel… saya hanya mula belajar selok-belok membaiki kereta di sini dan alhamdulillah, kini sudah boleh melakukan servis dan baiki sedikit kerosakan kereta,” katanya ketika ditemui Bernama di Marang, baru-baru ini.

Beliau yang juga anak kedua daripada lima beradik itu mengakui lebih selesa bergelumang dengan situasi bengkel kenderaan berbanding mengikuti kursus jahitan mahupun solekan.

Nur Izzatie yang bercita-cita menjadi penasihat perkhidmatan dalam industri automotif berkata golongan wanita juga mampu berada dalam kelas tersendiri meskipun bidang tersebut didominasi lelaki.

Beliau tidak meletakkan jantinanya sebagai satu kelonggaran ketika melakukan aktiviti sepanjang kursus tersebut, malah beliau dilihat ‘bergaya’ terutama ketika memegang spanar dan tidak kekok berada di bahagian bawah kereta ketika melakukan servis.

“Pada peringkat awal memang malu dan segan terutama apabila nak masuk bawah kereta tetapi lama-kelamaan ia jadi perkara biasa terutama apabila dapat sokongan rakan-rakan.  

“Niat saya mahu memberi perkhidmatan dan membantu wanita di luar sana yang kurang peka mengenai kereta terutama apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan di saat tidak terjangka,” katanya yang turut menanam cita-cita melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

Nur Izzatie telah mengikuti kursus tersebut sejak tujuh bulan lepas dan dijangka selesai pada 15 Julai ini.

Sepanjang pengajian, kos pengajian sebanyak RM13,000 dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Terengganu berikutan status anak negeri dan lebih istimewa, beliau ditempatkan di asrama dan menerima elaun bulanan sebanyak RM160.

TESDEC yang ditubuhkan pada 1996 oleh kerajaan negeri adalah institut latihan kemahiran untuk memberi peluang latihan yang lebih formal dan teratur kepada belia tempatan.

Selain bidang automotif, antara bidang lain yang ditawarkan ialah lukisan pelan senibina, pemasangan pendawaian bangunan dan pembuatan pakaian wanita.

Pengajian selama setahun bagi peringkat sijil dan dua tahun bagi diploma. — Bernama

Advertisement