Anda di sini

Utamakan produk usahawan tempatan

Advertisement
JAUJAN (tiga dari kiri) menyerahkan geran peruntukan kepada seorang penerima sambil diperhatikan Aidi (empat kiri) sempena majlis itu.
JAUJAN (tiga dari kiri) menyerahkan geran peruntukan kepada seorang penerima sambil diperhatikan Aidi (empat kiri) sempena majlis itu.

PAPAR: Pasaraya yang bertapak di Sabah disaran untuk memberi keutamaan kepada usawahan tempatan memasarkan produk mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata usaha itu membantu usahawan tempatan maju dari segi perniagaan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri.

"Kerajaan negeri juga menggalakkan usahawan muda mendaftarkan syarikat atau perniagaan mereka kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Ia bagi memastikan usahawan muda memperoleh bukan sahaja maklumat terkini, malah bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan.

"Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini pernah menyeru kepada semua usahawan bumiputera tempatan termasuk di luar bandar untuk bergait aktif dalam perniagaan," katanya ketika merasmikan Karnival Gegar Papar Sempena Cuti Sekolah 2019, di sini, malam Selasa.

Beliau berkata, kerajaan baru-baru ini turut mengumumkan geran berjumlah RM100 juta yang diperuntukkan kepada belia Sabah setiap tahun bagi menggalakkan lebih ramai golongan belia bumiputera mengambil peluang menceburi bidang perniagaan.

"Selain daripada geran, kerajaan juga menyediakan bimbingan dari segi latihan kejayaan, pemasaran, sistem perakaunan agar mampu membantu usahawan bumiputera kita berjaya pada masa hadapan," katanya.

Ketika ditemui kemudian, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, seseorang yang ingin menjadi usahawan jangan sesekali berangan-angan menjadi kaya dengan terus memulakan perniagaan besar.

Katanya, setiap orang perlu bermula dari bawah seperti mana peniaga hari ini yang sudah berjaya menjadi jutawan, pada satu masa dahulu mereka juga bermula secara kecil-kecilan.

"Peniaga perlu banyak belajar dan berhenti berangan-angan... perniagaan nampak senang mendapat keuntungan tetapi cabarannya adalah besar.

"Kita perlu tekun dan rajin, jangan disebabkan kawan berniaga, kita pun mahu turut serta. Fokus kepada kemahiran perniagaan yang ada dan bermula dari sana," katanya.

Beliau tidak menafikan kini ramai dalam kalangan belia menganggur dan hanya mengharapkan peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Katanya, belia perlu bijak untuk mengambil peluang dalam program keusahawanan yang disediakan kerajaan agar mampu keluar dari kepompong pengangguran.

Hadir sama Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Adun Pantai Manis Datuk Aidi Moktar.

  • oleh
  • Advertisement