Anda di sini

Tiga suspek bom ikan loloskan diri

Advertisement
ANGGOTA PPM Semporna menunjukkan barang-barang kes yang dirampas dari perahu oren yang ditinggalkan tiga suspek aktiviti bom ikan.
ANGGOTA PPM Semporna menunjukkan barang-barang kes yang dirampas dari perahu oren yang ditinggalkan tiga suspek aktiviti bom ikan.

SEMPORNA: Tiga suspek aktiviti bom ikan meloloskan diri sebaik dihampiri Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di perairan Lumanggas di sini, kira-kira jam 4 petang Selasa.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata ketiga-tiga suspek terbabit disyaki terdiri daripada seorang juragan dan dua anak perahu.

“Apabila tiba di kawasan cetek, mereka bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah daratan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek didapati meninggalkan sebuah perahu oren yang menggunakan enjin pam serta mengandungi peralatan disyaki untuk aktiviti bom ikan.

Antaranya, satu unit kompresor, batang peledak, kotak mancis kayu dan botol kaca berisi baja ammonia yang ditemukan semasa pemeriksaan dijalankan di perahu terbabit.

“Anggota bertugas turut menemukan pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 20kg, sebelum dirampas dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna.

“Nilai rampasan kira-kira RM4,113,” katanya, sementara siasatan kes itu diserahkan kepada Jabatan Perikanan Semporna mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, aktiviti pengeboman ikan itu dikesan awal oleh Unit Risikan Marin sebelum sepasukan PPM Semporna menahan perahu itu menerusi botronda RH7.

Beliau berterima kasih dengan bantuan masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat kepada PPM dan berharap kerjasama itu akan berterusan.

  • oleh
  • Advertisement