Anda di sini

Rakan Borneensis beri hasil positif kepada generasi muda 

Advertisement
RAKAN Borneensis merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis penutupan yang berlangsung di IBTP UMS. 
RAKAN Borneensis merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis penutupan yang berlangsung di IBTP UMS. 

KOTA KINABALU: Program Rakan Borneensis yang dianjurkan oleh Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama tiga hari bermula 25 Mac, dilihat memberi hasil positif kepada kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan generasi muda. 

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr D Kamaruddin D Mudin berkata program itu adalah bersempena penganjuran Biodiversity Festival 2019 yang julung kali diadakan di institut berkenaan. 

Katanya, menerusi program itu, peserta didedahkan dengan ilmu serta kemahiran berkaitan penghayatan kepelbagaian serangga, tumbuhan, mamalia, burung dan sebagainya. 

"Diharapkan aktiviti pendidikan alam sekitar ini telah meningkatkan tahap kesedaran peserta mengenai pentingnya menjaga khazanah alam semula jadi. 

"Setelah melaksanakan program ini selama tiga hari dengan penglibatan seramai 39 pelajar dari 12 sekolah menengah, sembilan sekolah rendah dan satu 'home school', saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif tahun ini," katanya ketika merasmikan Biodiversity Festival 2019 dan Penutupan Program Rakan Borneensis, di sini pada Rabu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam Profesor Dr Baba Musta. 

Tambah Kamaruddin, sekiranya jumlah peserta meningkat pada tahun depan, beliau mencadangkan supaya program seumpama itu diadakan di daerah lain di seluruh Sabah. 

Beliau berkata pihak pengurusan UMS menyambut baik pencapaian IBTP sebagai sumber rujukan pelbagai pihak luar dan dalam negara mengenai hal kepelbagaian biologi dan pemuliharaan. 

Sehubungan itu, katanya, pencapaian sedemikian perlu diteruskan oleh IBTP pada masa hadapan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai biodiversiti dan alam sekitar di negeri ini. 

Mengenai Biodiversity Festival yang diadakan selama dua hari bermula Rabu, beliau berkata ia adalah satu aktiviti menyeluruh dalam mengekalkan kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar. 

"Objektif program adalah untuk memberi pendedahan sekali gus pengetahuan kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan biodoversiti di Sabah. 

"Festival ini juga akan memberi ruang kepada agensi atau NGO terlibat dengan pemuliharaan biodiversiti untuk sama- sama menyampaikan pengetahuan dan kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar. 

"Ia juga dapat mewujudkan interaksi antara institut dengan masyarakat melalui aktiviti yang memberi semangat serta pengetahuan mengenai biodiversiti," katanya. 

Pelbagai pengisian diadakan sempena festival berkenaan seperti Bird Watching, Fun Shooting Archery, Bengkel Fotografi, Young Scientist at Work, Board Games, Galeri Borneesis Open Day, ceramah kepelbagaian biologi, Speeling Bee, tayangan video, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian Mascot, pameran dari pelbagai agensi pemuliharaan dan food truck. 

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah IBTP Profesor Madya Dr Monica Suleiman. 

  • oleh
  • Advertisement