Anda di sini

Program Rakan Borneensis diperluas ke semua sekolah

Advertisement

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) akan memperluas secara intensif peranan program Rakan Borneensis ke semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah.

Pengarah IBTP Prof Madya Dr Monica Suleiman berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar sekolah mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti ke arah persekitaran lebih lestari, sekali gus melahirkan generasi muda yang mencintai alam semula jadi.

Katanya, pelaksanaan program tahunan itu yang diperkenalkan sejak 2015 itu pada masa ini hanya melibatkan pelajar sekolah di sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran, selain mengadakan pameran mahupun program kesedaran di luar kawasan sekiranya ada permintaan termasuk di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Festival Biodiversiti dan penutupan program Rakan Borneensis 2019 disempurnakan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS Prof Dr Baba Musta yang mewakili Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin di sini, semalam.

Monica berkata seramai 30 pelajar sekolah sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud melibatkan diri dalam penganjuran program Rakan Borneensis sebelum ini, dan jumlah itu meningkat kepada 77 pelajar pada tahun ini.

Bagaimanapun, IBTP buat masa ini masih belum ada perancangan menjadikan Rakan Borneensis sebagai sebuah kelab untuk membolehkan pelajar terlibat dalam program itu mendaftar sebagai anggota kelab, katanya.

Sementara itu, Monica berkata, IBTP turut mewujudkan sebuah pusat menempatkan pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna Borneo oleh penyelidik UMS sebagai antara usaha merealisasikan objektif institusi untuk menjadi pusat penyelidikan dan rujukan dalam bidang biologi tropika dan pemuliharaan biodiversiti.

Pusat koleksi spesimen berkenaan telah dikunjungi oleh saintis tempatan serta luar negara termasuk Jepun dan United Kingdom bagi mendapatkan rujukan penyelidikan dalam bidang biodiversiti, ekologi, farmaseutikal dan pelancongan, katanya. — Bernama

Advertisement