Anda di sini

ICSC kini dibuka untuk penyelidikan biodiversiti hutan hujan tropika

Advertisement
SHAFIE (tengah) menanam pokok sebagai simbolik perasmian ICSC. Turut hadir (dari kiri) ialah Ahmad Nizam, Wan Zulkiflee dan Jamalul.
SHAFIE (tengah) menanam pokok sebagai simbolik perasmian ICSC. Turut hadir (dari kiri) ialah Ahmad Nizam, Wan Zulkiflee dan Jamalul.

TONGOD: Di sebalik kehijauan alam dan keindahan Air Terjun Imbak, Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) dibuka secara rasmi pada Rabu.

Ia mencipta sejarah bagi Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang merupakan sebuah hutan hujan dara terletak di tengah-tengah negeri Sabah dan menempatkan kekayaan flora serta fauna dan landskap yang unik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal menyempurnakan majlis perasmian ICSC bersama Pengarah Yayasan Sabah Datuk Haji Jamalul Kiram Haji Mohd Zakaria, Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. 

Pelancaran ICSC merupakan langkah penting dalam usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk melindungi warisan alam semula jadi dan persekitaran hutan hujan negeri ini, dan pada masa sama meningkatkan keupayaannya sebagai pusat kajian alam sekitar serta biodiversiti kelas dunia.

ICCA merupakan salah satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah, termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

Sejak tahun 2010, Petronas telah menyumbang sejumlah RM83 juta ke arah usaha konservasi Kanyon Imbak, menjadikannya usaha sama tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah bagi tujuan memelihara kawasan perlindungan hutan yang telah diwartakan di negeri ini.

Pada Rabu, pihak-pihak terlibat telah melanjutkan kerjasama mereka untuk ICSC melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU). ICSC merupakan sebuah kemudahan seluas 27 hektar yang terletak dalam zon teras ICCA yang berkeluasan 27,599 hektar.

Ahmad Nizam berkata, “Pusat ini merupakan nadi usaha konservasi di Kanyon Imbak. Sebagai usaha untuk memacu aktiviti penyelidikan di sini, Petronas melalui Yayasan Petronas merancang untuk memperkenalkan sebuah geran penyelidikan alam semula jadi bagi mendorong kajian berkaitan sekuestrasi karbon, biodiversiti serta tenaga baharu.”

“Kami yakin bahawa kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah akan mampu membantu kita melindungi hak cipta intelektual dan paten komersil yang mungkin terhasil daripada penyelidikan yang dijalankan di Kanyon Imbak. 

“Kami mahu meneruskan usaha konservasi dalam kaedah yang mapan dan berskala, di mana kejayaan bersama dapat dicapai,” tambahnya.

Sementara itu, Jamalul berkata, “ICSC akan memperkukuhkan posisi ICCA sebagai pusat pembelajaran komuniti pribumi dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber alam yang mapan, di samping langkah memelihara bank gen dan meneroka potensi bidang farmaseutikal dan bioteknologi."

Di samping itu, tambahnya, Kumpulan Yayasan Sabah juga komited dalam memperkasa komuniti tempatan ke arah taraf kehidupan yang lebih baik serta masa depan yang mapan.

Pembinaan ICSC membuktikan kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas ke arah usaha konservasi dan pembangunan di Sabah, khususnya kepada penduduk daerah ini.

“Seiring dengan misi untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di negeri ini, pembinaan ICSC akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam aktiviti berkaitan hospitaliti dan pelancongan kepada komuniti di kawasan Imbak, khasnya generasi muda.

"Melalui aktiviti-aktiviti ini, kami berharap agar mereka dapat mempertingkatkan taraf kehidupan dalam kaedah yang lestari,” kata Jamalul.

Advertisement