Anda di sini

‘Pahkak’ atau ‘tenem’ kini menjadi sumber rezeki komuniti

Advertisement
 Lima wakil komuniti yang terlibat dalam Projek Litsara bergambar bersama Pengerusi SBC Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot semasa majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah baru-baru ini.
BANGGA: Lima wakil komuniti yang terlibat dalam Projek Litsara bergambar bersama Pengerusi SBC Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot semasa majlis menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah baru-baru ini.

PENDUDUK lima kampung yang terletak di tanah tinggi di Sarawak tidak pernah menyangka ‘Litsea Cubeba’ atau dikenali sebagai ‘pahkak’ bagi kaum Bidayuh dan ‘tenem’ bagi Orang Ulu yang tumbuh liar di kawasan pergunungan, menjadi sumber rezeki mereka.

Ketua Kaum Kampung Kiding di Padawan Bakas Daneu berkata, penduduk di kampung itu sebelum ini hanya menggunakan pahkak sebagai penambah perasa kepada masakan serta digunakan bagi merawat sakit perut khasnya cirit-birit.

Namun kini ia merupakan bahan utama untuk menghasilkan produk-produk penjagaan kulit dan kecantikan yang bernilai tinggi.

Semuanya bermula sejak lima tahun lalu apabila Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) memulakan Projek LitSara melibatkan penyertaan komuniti Bidayuh di Kampung Kiding, Lun Bawang di Long Telingan dan Long Kerebangan di Lawas dan Kelabit di Pa’ Lungan dan Pa’Ukat di Bario.

“Saya berasa bangga dan berterima kasih kepada SBC dan UNDP (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) melibatkan kami dalam projek ini.

“Kami sudah mula menikmati hasil yang cukup baik begitu juga empat lagi komuniti peribumi lain,” katanya.

 Bakas menunjukkan cecair pencuci tangan yang dihasilkan daripada buah pahkak.
BERKUALITI: Bakas menunjukkan cecair pencuci tangan yang dihasilkan daripada buah pahkak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili komuniti Bidayuh Kampung Kiding pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) di SBC dekat Kuching, baru-baru ini.

Menurut Bakas setahun mereka mampu memperoleh pendapatan sekitar RM20,000 daripada hasil pengeluaran minyak buah dan daun pahkak.

Katanya, hasil jualan minyak pati pahkak kepada SBC akan dibahagikan sama rata kepada komuniti terlibat.

“Kami mula terlibat dalam projek ini sejak 2015. Kami mula mengutip buah dan daun pahkak dan memprosesnya sendiri dengan peralatan yang disediakan oleh SBC dan NUDP.

“Mulanya kami diberi latihan memproses daun dan buah pahkak untuk menghasilkan pati, apabila sudah mahir kami memprosesnya sendiri di sebuah pondok dengan empat set peralatan memproses,” katanya.

 Pokok pahkak atau tenem atau nama saintifiknya, Litsea Cubeba merupakan pokok kecil daripada keluarga Lauraceae dan boleh dijumpai tumbuh setinggi 5 hingga 10 meter di 2,300 meter atas paras laut.
BERHARGA: Pokok pahkak atau tenem atau nama saintifiknya, Litsea Cubeba merupakan pokok kecil daripada keluarga Lauraceae dan boleh dijumpai tumbuh setinggi 5 hingga 10 meter di 2,300 meter atas paras laut.
 Cathrine Joolly, 23, (kanan) dan Doris Teo, 65, suku kaum Kelabit dari Pa’ Lungan, Bario menunjukkan antara produk LitSara.
HASIL KAMI: Cathrine Joolly, 23, (kanan) dan Doris Teo, 65, suku kaum Kelabit dari Pa’ Lungan, Bario menunjukkan antara produk LitSara.

Bakas berkata, beliau bersama penduduk Kampung Kiding hanya mengekstrak minyak pati pahkak sebelum diproses oleh SBC untuk menghasilkan produk siap seperti sabun, syampu, cecair mandi, penyegar udara, minyak pati (daun dan buah), ‘sniff jar’ dan set pemberian cenderamata.

“Tahun lepas kami menyasar untuk menghasilkan hampir 40 liter minyak daripada buah pahkak dan 20 liter lagi daripada daunnya dan kami berjaya mencapai sasaran ini,” katanya.

Menurut Bakas sebanyak 130kg daun pahkak diperlukan untuk menghasilkan satu liter minyak manakala bagi buah hanya 30kg diperlukan.

Beliau memberitahu, bagi kaum Bidayuh buah pahkak secara tradisionalnya digunakan sebagai penyedap dan penambah rasa terutama bagi masakan daging serta pucuk ubi kayu.

Selain itu juga katanya, buah pahkak sering digunakan sebagai penawar kepada sakit perut dan cirit-birit.

“Dahulu, malah sekarang buah pahkak kami masak bersama pucuk ubi kayu yang ditumbuk agak lumat.

“Ia juga penawar kepada sakit perut dan cirit-birit. Saya sendiri pernah mengalaminya, ketika itu saya sedang mengumpul buah dan daun pahkak di atas  Gunung Kiding, suhu di atas sana sangat sejuk menyebabkan saya sakit perut tetapi selepas memakan hanya sebiji buah pahkak dalam masa lima minit saya tidak lagi sakit perut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kaum Bujang Long dari Pa’Ukat, Bario berkata, penglibatan penduduk kampung itu yang terdiri daripada suku kaum Kelabit dalam projek LitSara telah memberi peluang kepada mereka menjalankan pelbagai aktiviti menanam tumbuhan dengan mengamalkan amalan liar yang baik.

Selain memberi pendapatan sampingan yang agak lumayan, penglibatan mereka dalam projek itu mengajar cara penanaman lestari.

“Dahulu kami menebang pokok Litsea Cubeba atau tenem dalam bahasa kami, untuk mengambil buahnya tetapi dengan adanya ‘good wild practice’ yang diperkenalkan kepada kami, maka kami dapat menuai buah dan daun tenem secara mampan,” katanya.

Beliau menambah, Projek Litsara telah memberi faedah kepada penduduk Pa’Ukat kerana ia terbukti telah meningkatkan ekonomi serta keupayaan mereka mengendalikan projek seperti itu.

“Oleh yang demikian kami amat terhutang budi kepada kerajaan Sarawak dan SBC, tidak lupa NUDP atas sokongan dan bantuan kepada kami untuk menjayakan projek ini.

“Kami berharap sokongan dan bantuan projek seperti ini akan dapat diteruskan pada masa depan,” katanya.

Penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh saintis SBC mendapati minyak pati LitSara yang diekstrak daripada buah dan daun Litsea Cubeba adalah antimikrob yang membuatkan ia sesuai sebagai ramuan aktif dalam produk-produk penjagaan kesihatan.

Minyak LitSara, pada dilusi yang sesuai mempunyai wangian yang menyenangkan kerana ia mampu memberi kesegaran dan kecergasan.

Bagi SBC, Projek LitSara adalah projek perintis kepada perkongsian faedah dengan komuniti-komuniti setempat.

  • oleh
  • Advertisement