Anda di sini

Ong Seong Wu temui peminat Malaysia sebagai solo artis

Advertisement
 

PENYANYI dan pelakon Korea Selatan Ong Seong Wu yang sebelum ini lebih dikenali bersama kumpulan Wanna One baru-baru ini membuat kemunculan semula di Malaysia sebagai seorang artis solo dalam ‘Ong Seong Wu First Fan Meeting in Malaysia Eternity’.

Acara yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur itu menyaksikan lebih 4,000 peminat yang datang bukan sahaja dari Malaysia malah dari negara jiran Thailand dan juga dari Australia dan AS yang sanggup meredah terik matahari dan hujan yang tidak dijangka untuk melihat penyanyi kegemaran mereka itu secara lebih dekat.

Kali terakhir Ong Seong Wu bertandang ke Malaysia adalah pada tahun lalu sewaktu masih menganggotai WANNA ONE. Bagaimanapun kumpulan itu kemudian dibubarkan Disember tahun lalu.

Penyanyi itu membuka acara berkenaan dengan menunjukkan bakat tariannya yang diiringi muzik ‘Treasure’ yang dinyanyikan oleh Bruno Mars.

Ong Seong Wu kemudiannya diberikan satu peranti tablet di mana dari sana beliau membuka tiga aplikasi untuk menjawab soalan-soalan yang dihantar oleh para peminatnya, berkongsi maksud di sebalik gambar-gambar yang dimuat naik oleh beliau dan menari mengikut ‘mashup’ beberapa lagu hit.

Ong Seong Wu kemudiannya ke belakang pentas untuk berehat seketika sebelum kembali semula ke pentas dengan mengenakan sut kelabu yang menarik untuk mempersembahkan lagu ‘Please’.

Pertemuan bersama peminat itu diteruskan dengan Ong Seong Wu menangkap tiga bintang dari skrin dengan setiap bintang  itu mempunyai misi tertentu, termasuk belajar bagaimana menyanyi lagu ‘Rasa Sayang’.

Ong Seong Wu juga turut mengadakan cabutan bertuah berdasarkan tempat duduk di mana para pemenangnya berjaya membawa pulang beberapa hadiah eksklusif.

Ong Seong Wu menutup acara itu dengan menyanyikan lagu ‘Love This Moment’ dan juga satu persembahan tarian sebagai ‘encore’.

Pertemuan bersama peminat yang dianjurkan oleh Hatchery iaitu sebuah syarikat produksi dan hiburan yang berpangkalan di Bangkok, Thailand itu adalah yang pertama oleh Ong Seong Wu.

Kuala Lumpur adalah perhentian kedua bagi pertemuan bersama peminat itu selepas satu acara yang mendapat sambutan hebat di Bangkok dan sebelum berakhir di Singapura pada 6 April depan.

Advertisement