Anda di sini

Tasik Batang Ai kaya dengan potensi ekopelancongan

Advertisement
 Awang Tengah bersama tetamu kehormat lain menggunting reben sebagai simbolik pelancaran Pesta Batang Ai 2019 di Lubok Antu pada Sabtu.
SIMBOLIK: Awang Tengah bersama tetamu kehormat lain menggunting reben sebagai simbolik pelancaran Pesta Batang Ai 2019 di Lubok Antu pada Sabtu.

KUCHING: Tasik Batang Ai merupakan lokasi yang sesuai untuk dijadikan destinasi utama bagi aktiviti sukan air di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, terletak strategik dan dikelilingi kehijauan, banyak produk ekopelancongan yang boleh ditawarkan kepada pelancong di Batang Ai.

“Kewujudan resort dan fasiliti untuk pelancong di sini juga memudahkan orang luar menikmati keindahan semula jadi Batang Ai yang menawan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pesta Batang Ai di Lubok Antu pada Sabtu.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu menggesa rakyat di Lubok Antu supaya merebut peluang dengan melibatkan diri secara langsung dalam industri tersebut.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai geran untuk membantu usahawan terutama dari luar bandar.

“Terpulang kepada rakyat untuk melihat apakah produk dan perkhidmatan yang sesuai ditawarkan kerana kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu dari segi bantuan kewangan dan pembangunan usahawan,” kata beliau,

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada golongan usahawan luar bandar termasuk projek madu kelulut yang mendapat permintaan tinggi dalam industri kosmetik dan makanan.

“Malah, usahawan kini boleh membuat pendaftaran di Sarawak Pavillion sebagai kemudahan kepada mereka untuk memasarkan produk ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcom Mussen Lamoh berharap Kerajaan Sarawak akan terus membawa kemajuan dan pembangunan ke kawasan Batang Ai demi kepentingan penduduk di sini.

“Malah, saya juga menaruh harapan tinggi agar Pesta Batang Ai dapat dianjurkan dua kali setahun dengan peruntukan lebih tinggi yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan ini khasnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai.

Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan serta tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement