Anda di sini

Skuad Oman julang Piala Airmarine

Advertisement
 Aksi pemain Oman, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Maqbali setelah berjaya menjaringkan gol sewaktu perlawanan akhir menentang pasukan Singapura pada Kejohanan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil , Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama
CERIA: Aksi pemain Oman, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Maqbali setelah berjaya menjaringkan gol sewaktu perlawanan akhir menentang pasukan Singapura pada Kejohanan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil , Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan ranking ke-90 dunia, Oman menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Airmarine dengan menewaskan Singapura 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir kejohanan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam kelmarin.  

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Selaku juara, pasukan Oman membawa pulang piala dan pingat yang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Joehari Ayub.  

Dalam aksi itu, Oman sememangnya menguasai permainan dalam separuh pertama permainan dengan melancarkan serangan keras ke kubu Singapura dan mereka terpaksa menanti sehingga 22 minit untuk memecah kebuntuan melalui tandukan Abdul  Aziz Humaid Al-Maqbali, hasil hantaran silang daripada Raed Ibrahim Saleh.

Singapura hampir mendapat gol penyamaan tetapi pengadil Suhaizi Shukri menolak permintaan daripada pemain Singapura untuk mendapatkan penalti, biarpun tendangan Yasir Hanapi dikatakan jelas kena tangan Jameel Salem dalam kotak penalti pada minit ke-44 dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Selepas babak kedua bermula, kedua-dua pasukan saling menyerang tetapi Singapura mendapat gol penyamaan menerusi pemain gantian, Muhammad Zulfahmi Arifin yang melakukan tendangan lencong ke sudut kiri gawang Oman.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan kedua sehingga tamat 90 minit permainan, memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Oman memenangi penentuan sepakan penalti 5-4, selepas  Muhammad Faris Ramli gagal menyempurnakan sepakan penaltinya.

Pada sidang media selepas perlawanan, Ketua Jurulatih Oman, Erwin Koeman merasa gembira dengan aksi anak-anak buahnya tetapi mengakui Singapura memberikan tentangan sengit terhadap Oman dalam perlawanan itu.

“Kemenangan ini menunjukkan kami adalah pasukan lebih baik tetapi Singapura beraksi dengan baik dalam babak kedua dan mencipta lebih banyak peluang jaringan gol tetapi secara keseluruhannya saya gembira dengan pencapaian pemain,” katanya.

Pengendali sementara Singapura, Nazri Nasir juga memuji skuadnya yang mempamerkan semangat juang yang tinggi biarpun ketinggalan satu gol dalam babak pertama.

“Saya bangga dengan apa yang dilakukan pemain sepanjang kejohanan berlangsung. Mereka berjuang habis-habisan dan mengasak mereka dengan keras dan akhirnya kami mendapat gol penyamaan tetapi sememangnya pujian harus diberikan kepada pemain kerana aksi cemerlang mereka,” katanya.

Terdahulu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol dengan menewaskan Afghanistan 2-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat di stadium yang sama. — Bernama

Advertisement