Anda di sini

Sebanyak 7,500 borang permohonan sertai PSB diserahkan kepada Wong

Advertisement
 Wong (empat kiri) menerima borang permohonan menyertai PSB daripada James sambil diperhatikan Entulu (tiga kiri) serta yang lain.
SERAH BORANG: Wong (empat kiri) menerima borang permohonan menyertai PSB daripada James sambil diperhatikan Entulu (tiga kiri) serta yang lain.

SIBU: Sebanyak 7,500 borang permohonan bagi menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) diserahkan kepada Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh pada Majlis Pelancaran PSB Kawasan Selangau di Rumah Peterson Jawa, KM81, Jalan Sibu-Bintulu malam kelmarin.

Daripada jumlah itu, masing-masing 2,500 permohonan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan Kakus dan Samalaju (2,000).

Borang permohonan bagi kawasan Tamin dan Kakus diserahkan oleh Tuai Rumah James Medan sementara Samalaju diwakili oleh Baba Emperan.

Menurut Wong, pelancaran PSB Selangau merupakan pelancaran kedua selepas di Sri Aman pada hujung minggu lalu.

“Pada minggu depan dan minggu berikutnya, kita mengadakan empat atau lima majlis pelancaran di seluruh Sarawak.

“Saya yakin beribu-ribu orang akan mendaftar sebagai ahli PSB,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama pengerusi pengelola Datuk Joseph Entulu Belaun, Timbalan Presiden PSB merangkap ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merangkap ADUN Dudong Datuk Tiong Thai King, ADUN Opar Datuk Ranum Mina, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau serta lebih 6,000 hadirin dan ahli parti.

Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang berkata, PSB adalah sebuah parti berbilang bangsa memberi kepimpinan bermakna dan konstruktif untuk semua lapisan masyarakat di Sarawak.

Katanya, PSB berjuang untuk keadilan semua rakyat serta bekerjasama dengan mereka yang mempunyai pemikiran sama bagi mengukuhkan keharmonian, keamanan dan kestabilan di Sarawak.

“Kita berusaha membentuk sebuah masyarakat berbilang bangsa, budaya dan agama. Semua ini adalah kepercayaan dan cabaran ditetapkan dalam parti kita,” jelasnya.

Menteri Kewangan Kedua itu berkata,usaha membina sebuah negara tidak dapat dipikul satu kumpulan atau parti sebaliknya harus dipikul bersama.

Justeru, ADUN Bawang Assan itu berkata semua ahli PSB mesti mempunyai misi, bersatu dan komited kepada tujuan mulia parti.

“Mari kita semua bangkit dan berusaha bersama Kerajaan Sarawak memberi perkhidmatan unggul kepada rakyat negeri ini,” ujar Wong.

Sementara itu, Entulu dalam ucapannya menyeru kepada semua masyarakat Dayak di negeri ini supaya bersatu di bawah PSB.

Menurutnya, PSB adalah sebuah parti yang sangat tepat untuk masyarakat Dayak dan merupakan sebuah parti berasaskan konsep berbilang kaum dan agama.

Advertisement