Anda di sini

Sarawak bina stesen kuasa tiga dalam satu

Advertisement
 Abang Johari mengunjungi gerai jualan Muda Hashim Garage Sale 4.0 Tahun 2019 di Kuching, malam kelmarin.
MENARIK: Abang Johari mengunjungi gerai jualan Muda Hashim Garage Sale 4.0 Tahun 2019 di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang akan membina kemudahan stesen bagi membekal kuasa petrol, hidrogen dan caj elektrik kepada kenderaan pengangkutan awam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak sedang berbincang secara serius mengenai rancangan pembinaan stesen tiga dalam satu tersebut.

Langkah itu juga katanya, sebahagian daripada usaha Sarawak mencapai revolusi perindustrian 4.0 yang bertujuan meluaskan penggunaan bahan api yang tidak mencemarkan alam sekitar.

“Sebagai permulaan, kita telah menggunakan perkhidmatan bas kuasa elektrik untuk membawa pelancong di sekitar pusat bandar raya. Dan sedikit masa lagi kita akan memperkenalkan bas hidrogen yang dijangka digunakan akhir April atau awal Mei.

“Kerajaan sedang memperinci rancangan untuk membina stesen tiga dalam satu bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petroleum  Sarawak Berhad (Petros).

“Manakala Sarawak Energy Berhad (SEB) berperanan memperkenalkan teknologi penggunaan kuasa tenaga baharu yang boleh diguna pakai lagi mesra alam,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Muda Hashim Garage Sale 4.0 anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok di Jalan Kulas di sini, malam kelmarin.

Abang Johari percaya usaha itu akan menjadi platform untuk membawa lebih kemajuan dalam industri tenaga pada masa depan.

Bercakap mengenai bas hidrogen katanya, Sarawak akan mempunyai tiga bas menggunakan kuasa hidrogen di bandar raya ini untuk tujuan pelancongan sebagai permulaan.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, ia bermakna kita mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih mesra kepada alam sekitar dan pada masa sama, Sarawak akan menjadi negeri pertama  dalam Asia Tenggara menggunakan bas hidrogen,”  ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggesa usahawan muda menggunakan teknologi untuk membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Program Garage Sale 4.0 merupakan antara usaha parti memberi pendekatan baharu kepada generasi muda tentang cara perniagaan alaf baharu termasuk pemasaran dalam talian,” katanya sambil menyebut cara penggunaan Sarawak Pay.

“Justeru, Pemuda PBB Satok diminta mengadakan seminar untuk memberi penerangan khusus tentang penggunaan teknologi dalam perniagaan,” tambahnya.

Hadir sama, Ketua Pemuda PBB N8 Satok Dzamaluddin Zainudin dan tetamu jemputan lain.

  • oleh
  • Advertisement