Anda di sini

Rakyat Thailand berbondong-bondong ke stesen mengundi

Advertisement

BANGKOK: Dengan penuh semangat dan keterujaan ribuan orang berpusu-pusu ke  stesen mengundi di Thailand sejak sebelum subuh untuk tidak melepaskan peluang melaksanakan hak mereka dalam pilihan raya pertama negera itu sejak rampasan kuasa tentera hampir lima tahun lepas.

Rakyat Thailand berbondong-bondong ke lebih 93,200 stesen mengundi di 77 provinsi in negara gajah putih itu sebelum ia dibuka  pada 8 pagi (waktu tempatan) dengan harapan “suara mereka didengari dalam bentuk undi.”

Lebih 51 juta pengundi dijangka mengundi bagi memilih 500  wakil ke Dewan Perwakilan, di mana 350 deripada mereka dipilih secara langsung menerusi  pulihan raya kawasan, manakala 150 akan dilantik menerusi senarai perwakilan  parti.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha menyertai beribu-ribu rakyat Thailand mengundi di Soi Pradipat 5, Daerah Thai Phaya di sini pada 8.30 pagi (waktu tempatan).

Prayuth, yang dikenali dengan nama samarannya ‘Uncle Tu’ adalah calon perdana menteri untuk Parti Palang Pracharat berkata, “Saya sangat teruja untuk rakyat (untuk membuang undi).

“Saya berharap semua orang akan keluar mengundi. Saya gembira rakyat kini lebih bersemangat untuk  mengundi,” katanya kepada media setelah membuang undi.

Sementara Raja Maha Vajiralongkorn dalam  titah diraja pada Jumaat malam menyeru rakyat supaya menyokong “orang yang baik untuk memimpin dan halang mereka yang jahat daripada mendapat kuasa dan menimbulklan kekacauan.”

Baginda berharap semua warga serta pegawai kerajaan termasuk penjawat awam, anggota tentera dan polis memastikan keselamatan negara dan kemakmuran rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya  (EC) menjangkakan  kehadiran pengundi yang tinggi dalam pilihan raya yang dinanti-nantikan di negara itu.

 Terdapat 11,181 calon kawasan pilihan raya  dan 2,917 calon senarai parti daripada 82 parti politik mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Semua stesen mengundi akan ditutup pada 5 petang sebelum bermulanya proses pengiraan undi

Keputusan tidak rasmi dijangka diketahui seawal 7 malam (waktu tempatan).

Parti yang baharu ditubuhkan dan projunta, Parti Palang Pracharat bertanding di 350 kerusi kawasan dan 120 kerusi senarai parti manakala Parti Demokrat (350 kerusi dan 150 senarai parti) Pheu Thai (250 kerusi dan 97 senarai parti), Parti Future Forward (350 kerusi dan 124 senarai parti).

Ahad lepas, 86.98 peratus daripada  2.6 juta pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka. — Bernama

Advertisement