Anda di sini

Rakyat diajak pertahankan keamanan, jauhi pengaruh ekstremis

Advertisement
EWON (tiga dari kiri), Mohd Zaidi (empat dari kanan) dan Adun Tempasuk Datuk Musbah Jamli (dua dari kiri) bersama-sama memotong kek sempena majlis itu.
EWON (tiga dari kiri), Mohd Zaidi (empat dari kanan) dan Adun Tempasuk Datuk Musbah Jamli (dua dari kiri) bersama-sama memotong kek sempena majlis itu.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, semua lapisan masyarakat berperanan penting dalam menjaga keselamatan dan keamanan negeri ini dengan memastikan mereka tidak terpengaruh dengan fahaman ekstremis yang boleh menganggu gugat keselamatan dan kesejahteran awam.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin akar umbi dan masyarakat secara keseluruhanya supaya menjalankan tanggungjawab bersama dan terus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan untuk memastikan keamanan yang dinikmati selama ini terus terpelihara.

"Peranan menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan tetapi tanggungjawab semua lapisan masyarakat dan ia bermula dari diri sendiri dan keluarga dengan memastikan kita tidak terjebak dengan kegiatan jenayah atau masalah sosial yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan Sempena Sambutan Hari Polis Peringkat Daerah Kota Belud di Dataran Ibu Pejabat Polis Kota Belud, di sini hari ini.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup bertarung nyawa menjaga keamanan dan keselamatan di sempada negara, tidak ternilai dengan wang ringgit.

"Bukan mudah menjadi anggota PDRM, mereka terpaksa bertarung nyawa menjaga keselamatan di sempadan negara, mengawal kesesakan jalan raya dan bekerja 24 jam demi memastikan rakyat hidup aman damai.

"Tiada hadiah yang dapat kami berikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan anggota PDRM selama ini, selain doa agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan selamat dan penuh dedikasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat atas sokongan dan kerjasama berterusan kepada pihak polis terutamanya dari aspek menjaga keselamatan dan menjalankan tugas menangani masalah banjir di daerah ini.

"Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan untuk memastikan masyarakat di daerah ini hidup dalam keadaan aman damai, selesa dan sejahtera," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ewon atas sokongan dan sumbangan untuk membiayai program sambutan Hari Polis Peringkat Daerah Kota Belud.

Selain acara perbarisan dan penyampaian sijil penghargaan kepada anggota polis, sambutan Hari Polis Peringkat Daerah Kota Belud turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan menarik termasuk Persembahan Gimik Hari Polis oleh Rapid Team dan bacaan sajak.

Peringatan Hari Polis Ke-212 disambut secara serentak di seluruh negara oleh warga PDRM.
 

Advertisement