Anda di sini

Mengejar impian seluloid di bandar filem China

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 30 Januari 2019 ini menunjukkan beberapa pelakon tambahan memakai kostum zaman silam berjalan di set penggambaran untuk sebuah drama TV China di Hengdian World Studios. — Gambar Reuters
PELAKON TAMBAHAN: Gambar yang diambil pada 30 Januari 2019 ini menunjukkan beberapa pelakon tambahan memakai kostum zaman silam berjalan di set penggambaran untuk sebuah drama TV China di Hengdian World Studios. — Gambar Reuters

BOSAN dengan kesukaran dalam kerjanya sebagai jurujual di selatan China, Lu Qi meletak jawatan dan melakukan perjalanan sejauh seribu kilometer ke salah sebuah studio filem terbesar di negara tersebut di utara dengan harapan untuk berjaya dalam perfileman.

Impian itu masih diusahakan oleh Lu dan ribuan sepertinya yang mencari pendapatan yang tidak tentu sebagai pelakon tambahan di Hengdian World Studios.

Sama seperti penonton filem menggunakan filem untuk lari daripada realiti, begitu juga dengan ramai daripada tentera Hengdian yang terdiri daripada lebih 6,000 pelakon tambahan.

“Saya gagal begitu banyak kali (dalam jualan) dan tidak mencapai banyak kemajuan,” kata Lu, dengan kepala yang dicukur sehingga botak kecuali bagi topi kaitan untuk memanaskannya.

“Kebanyakan orang di sini tidak ada ijazah, kemahiran atau perhubungan. Kami juga tidak dapat menjalankan sebarang perniagaan, jadi kami di sini hanya untuk lari daripada realiti dan persaingan di luar sana,” tambah lelaki berusia 24 tahun itu.

Hengdian, di wilayah Zhejiang, timur China, dahulu merupakan sebuah bandar yang dilanda kemiskinan di tengah-tengah bukit-bukau yang sukar.

Namun pada pertengahan tahun 1990an, firma pelaburan Hengdian Group mengembangkan perniagaan kepada bidang perfileman.

Ia meratakan landskap dan mendirikan kompleks studio gergasi, dan kini mengaku sebagai pangkalan penggambaran filem dan TV yang terbesar di dunia.

Kadang-kadang digelar ‘Hollywood Timur’ atau sekadar ‘Chinawood’, media tempatan melaporkan lebih 70 peratus daripada program-program filem dan TV di China sekurang-kurangnya sebahagiannya mengadakan penggambaran di sebuah tapak seluas 330 hektar.

LU QI
LU QI

Set penggambaran termasuk kompleks istana purba yang dapat menampung ribuan pelakon selain rumah agam kontemporari dan skrin hijau moden.

“Anda dapat melengkapkan perjalanan Beijing-Hong Kong dalam masa sehari,” kata pemandu pelancongan Hengdian, Wu Rongrong, ketika dia berdiri di hadapan replika saiz sebenar Kota Larangan Beijing sambil menunjuk ke arah replika sebuah lebuh Hong Kong yang lama dan lengkap dengan bar candu.

- Ribuan pelakon -

Studio itu telah menjadi latar belakang bagi filem blokbuster China seperti ‘Hero’ (2002) dan pernah diserikan oleh pelakon senarai A seperti Jackie Chan dan Fan Bingbing.

Pertumbuhannya sudah mengatasi bekalan tenaga manusia tempatan.

“Pada mulanya, kami merekrut kebanyakan warga tempatan sebagai pelakon tambahan. Sekarang majoriti mereka datang dari kawasan luar,” kata Zhou Fenglai, seorang pegawai Hengdian yang berurusan dengan pengurusan pelakon.

Kira-kira 6,000 hingga 8,000 orang bersedia setiap hari untuk menjadi pelakon tambahan di Hengdian.

Lian Chunyu membesar dengan menaiki kuda di dataran wilayah Inner Mongolia di China, sebelum dia menggunakan pengalaman itu untuk bekerja sebagai seorang penunggang aksi ngeri Hengdian selama lapan tahun.

Walaupun wajahnya tidak pernah kelihatan dalam filem, ia masih mengujakan untuk menjadi sebahagian daripadanya.

“Ia pasti sukar bagi saya untuk membiasakan diri dengan membuat sesuatu yang lain selepas ini,” katanya.

Lu, yang menghabiskan masa beberapa bulan setahun di Hengdian dan waktu lain di rumah di wilayah Guangdong, memeriksa mesej kumpulan WeChatnya setiap pagi untuk kerja studio, biasanya menemui sesuatu setiap hari.

Lu dan Lian menerima kira-kira 100-200 yuan sehari (RM60-RM120), cukup untuk membayar sewa dan makanan, manakala mereka yang mempunyai pengalaman berlakon yang lebih mendapat gaji yang lebih.

Pelakon tambahan lelaki mendapat tambahan 40 yuan setiap kali mereka mencukur kepala mereka – sebahagiannya untuk memastikan tenaga kerja mencukupi bagi adegan yang selalu digunakan dan memerlukan tocang dan kepala dicukur ala Manchu.

Selain wang tambahan, Lu juga suka dengan hakikat bahawa rupa yang khusus seperti itu bermakna dia tidak perlu membawa watak tentera.

“Ia sangat tidak selesa berlari-lari di pergunungan memakai baju perisai dan diletupkan,” kata Lu, sambil membandingkannya dengan kerja sebagai “kuli”.

- Digembala seperti lembu -

Di antara adegan-adegan, Lu membuat penggambaran video tentang dirinya sendiri dengan prop dan kostum, yang dia muat naik ke media sosial.

Ramai pelakon tambahan membuat persembahan dan siaran dalam talian secara langsung, untuk mencari wang tambahan menerusi pembayaran digital daripada pengikut mereka, katanya.

Satu perkara negatif: disalak dan digembala seperti lembu.

“Kebanyakan kru filem amat teruk sekali, menyumpah orang dan seumpamanya. Ia keji sekali. Lebih besar pasukan penerbitan, lebih teruk mereka,” kata Wang Xiaopin, seorang pelakon tambahan berusia 47 tahun dari wilayah tengah Henan.

“Ia tidak penting betapa bagusnya anda berlakon. Dalam mata mereka, anda akan sentiasa tidak layak.”

Sektor hiburan di China sudah berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu selepas kerajaan berusaha untuk membina industri domestik dan menggantikan kandungan asing yang diimport dengan sajian tempatan.

Namun banyak projek telah ditangguhkan selepas kerajaan pada tahun lepas mula mengambil tindakan ke atas dakwaan tentang pengelakan cukai yang berleluasa dan bayaran yang begitu tinggi sekali bagi bintang-bintang ternama.

Ia telah menjadikan kerja semakin sedikit buat masa sekarang, dan sementara sumber di Hengdian berkata segelintir pelakon tambahan sudah berhenti, Lu tetap optimis.

“Saya masih mahu menjadi seorang pelakon,” jelas Lu, dan menambah: “Saya percaya masa depan akan lebih baik berbanding masa lalu.” — AFP

Advertisement