Anda di sini

Masyarakat perlu jaga kesihatan mulut

Advertisement
 Stephen (kanan) meninjau pameran produk penjagaan mulut pada majlis itu.
TINJAU: Stephen (kanan) meninjau pameran produk penjagaan mulut pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Penyakit berkaitan mulut seperti kerosakan gigi serta gusi perlu diambil perhatian oleh setiap masyarakat dalam negara ini memandangkan ianya mampu menjejaskan kesihatan badan secara keseluruhan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penyakit seumpamanya bukan sahaja menjadi perhatian dalam negara ini tetapi ia juga memberikan kesan secara global.

“Di sesetengah negara ASEAN Pasifik, penyakit mulut itu berkait rapat dengan kanser mulut yang mana menjadi penyakit kanser nombor tiga tertinggi negara-negara terbabit.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai lapan daripada 10 orang dewasa berhadapan dengan kerosakan gigi...sementara lima daripada 10 orang dewasa menghadapi penyakit gusi,” katanya ketika merasmikan Kongress Pergigian Borneo ke-9, di sini pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong.

Shafie berkata, masyarakat Malaysia bertuah kerana negera ini menyediakan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan tercanggih di dunia serta boleh didapati secara berpatutan.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan keutamaan menaik taraf dan mengembangkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja dinikmati masyarakat di bandar tetapi juga mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman akan turut diberi keutamaan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada sektor swasta khususnya dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan agar memberikan kerjasama dengan kerajaan demi membawa manfaat kepada semua rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga sudah menyokong segala inisiatif penganjuran program kesihatan di negeri ini.

“Saya percaya kita mempunyai asas yang kukuh dan boleh bekerjasama untuk mencapai standard yang lebih tinggi untuk kesihatan rakyat negara ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi Penganjur Dr Sylvia Lim serta tetamu kehormat lain.

Program yang diadakan selama dua hari itu disertai seramai 400 peserta dari enam negara seperti Korea, Indonesia, Brunei, India, Singapura dan Malaysia.

Advertisement