Anda di sini

JHS berjaya kekalkan kawasan hutan di S’wak

Advertisement

BINTULU: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya mengekalkan kawasan hutan di Sarawak sehingga 64 peratus sebagai hutan terluas di Malaysia daripada keseluruhan negeri ini berjumlah 12.4 juta hektar meskipun industri perkayuan bermula sejak 1940-an.

Pengarahnya Hamden Mohammad berkata JHS berjaya mewartakan kawasan seluas 2.05 juta hektar sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) merangkumi daratan seluas 816,170.40 hektar dan kawasan berair 1.24 juta hektar.

Katanya, TPA terdiri daripada 45 taman negara berkeluasan 830,650 hektar, 15 rizab semula jadi seluas 3,455 hektar dan lima sanktuari hidupan liar seluas 225,791.40 hektar.

“Bagi memastikan bumi Sarawak terus hijau, JHS melaksanakan program restorasi hutan secara besar-besaran, memperkasa aktiviti pewartaan dan menjalin kerjasama pintar dengan pelbagai agensi menjayakan kempen penanaman pokok,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2019 di sini kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua serta Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hamden berkata, untuk memastikan bekalan benih pokok terutama spesies tempatan mencukupi untuk pelaksanaan kempen ini dan diagih kepada pihak memerlukan, JHS membangunkan tapak-tapak semaian  di seluruh Sarawak seperti Sabal Agroforestry Centre, STIC Sibu dan Lambir yang sehingga kini 132,664 benih pokok daripada 153 spesies tempatan disemai dan sedia ditanam.

Katanya, JHS mewajibkan semua lesen pembalakan mencapai status pensijilan pengurusan hutan menjelang 2022 bagi memastikan hutan diurus baik dan mapan.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak enam Unit Pengurusan Hutan (FMU) berjaya memperolehi sijil pengurusan hutan dengan keluasan 561,703 hektar manakala enam Unit Pengurusan Perladangan Hutan (FPMU) berkeluasan 73,000 hektar mendapat pensijilan ladang hutan.

“JHS juga komited memastikan arahan kerajaan negeri supaya menghentikan pengeluaran lesen-lesen baharu pembalakan serta tidak memperbaharui lesen-lesen pembalakan sedia ada apabila tamat tempoh.

“Sehingga 31 Januari lalu hanya 141 lesen pembalakan sahaja masih sah jika dibandingkan pada 2014 sebanyak 477 lesen,” katanya.

Sempena sambutan itu, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pengurusan dan penjagaan hutan ditandatangani termasuk pelancaran buku bertajuk ‘Beginning Of A Journey’ menceritakan peranan JHS membangunkan komuniti luar bandar.

Katanya, siri kempen penanaman pokok dilaksanakan meraikan sambutan dan ulang tahun ke-100 penubuhan JHS dan untuk rekod dari Januari hingga 20 Mac tahun ini sebanyak 12,200 pokok kayu pelbagai jenis ditanam di beberapa kawasan seluruh Sarawak dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak serta UNIMAS menjayakan kempen penanaman pokok di Kuching Wetland National Park.

Turut hadir Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Bandar dan Sumber Asli Datu Wan Lizozman Wan Omar.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Hashim Bojet, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohammad Aton, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Profesor Dr M Iqbal Saripan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi.

  • oleh
  • Advertisement