Anda di sini

Gol Barella, Kean pastikan ‘skuad baharu’ The Azzurri ceria

Advertisement
 Barella (bawah)meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika beraksi pada perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Finland di Stadium Friuli, Udine pada Sabtu lepas. — Gambar AFP
KEMENANGAN PERTAMA: Barella (bawah)meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika beraksi pada perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Finland di Stadium Friuli, Udine pada Sabtu lepas. — Gambar AFP

UDINE, Itali: Nicolo Barella dan Moise Kean menjaringkan gol untuk memastikan ‘skuad baharu’ Itali bermula dengan kemenangan pada perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2020 apabila menewaskan Finland 2-0 di Udine Sabtu lepas.

Barella, 22, membuka jaringan seawal minit ketujuh sementara Kean, 19, yang membuat penampilan kesebelasan utama bersama Itali, menambah jaringan pada minit ke-74 untuk menggembirakan penyokong di Stadio Friuli yang penuh sesak di sini.

“Ia bukan mudah kerana mereka menutup ruang dari awal, mengubah cara mereka bermain dan meletakkan lima pemain di benteng pertahanan,” kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

“Kami melakukan beberapa kesilapan di awal permainan tetapi bermain dengan lebih baik selepas rehat dan mencipta banyak peluang.

“Kean memiliki kualiti, potensi besar dan semuanya bergantung kepada beliau. Beliau harus bekerja-keras.”

Itali dalam proses pembinaan semula di bawah kendalian Mancini selepas juara dunia empat kali itu dikejutkan dengan kegagalan layak ke Piala Dunia (2018) buat kali pertama dalam 60 tahun.

Dan tugas pertama Mancini ialah membawa pasukan ke Euro, satu kejohanan yang hanya dimenangi sekali oleh Itali, iaitu 51 tahun yang lalu.

Itali, yang berada pada ranking ke-18 dunia ketika ini, menjadi pasukan pilihan dari Kumpulan J, yang turut termasuk Armenia, Bosnia dan Liechtenstein.

Itali tidak dapat menurunkan skuad terkuat dengan kecederaan kepada dua penyerang, Federico Chiesa dan Lorenzo Insigne, selain Alessandro Florenzi.

Kean menjadi pemain pertama yang lahir selepas 2000 yang beraksi dalam kesebelasan utama untuk Itali.

Pemain remaja itu membentuk tiga penyerang bersama-sama Federico Bernardeschi dan Ciro Immobile.

Satu-satu penampilan Kean sebelum ini ialah sebagai pemain gantian pada perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat bulan November tahun lepas.

Tetapi Barella, pemain tengah, membuka jaringan pada awal permainan selepas pertahanan Finland gagal mengeluarkan bola bahaya dari tendangan percuma Marco Verratti.

Barella melakukan satu rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.

Cristiano Piccini tidak bernasib baik menambah jaringan selepas gandingan cantik dengan Kean sementara Bernardeschi juga gagal dalam rayuan mendapatkan penalti sebelum rehat ketika Itali menguasai permainan.

Teemu Pukki terlepas peluang mengikat kedudukan pada minit ke-65 apabila penyudah dari umpanan Robin Lod tersasar walaupun pintu gol Itali terbuka luas.

Itali menambah jaringan pada pertengahan separuh masa kedua selepas Immobile mengumpan bola kepada Kean untuk gol antarabangsa pertama beliau.

Seorang lagi pemain remaja, Nicolo Zaniolo, 19, membuat penampilan sulung bersama Itali apabila dimasukkan pada lima minit terakhir permainan.

Itali – juara Euro pad 1968 dan naib juara pada 2000 dan 2012 – mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen kelayakan sejak hampir 13 tahun yang lalu, dengan 25 kemenangan dan seri enam kali.

Itali akan menentang Liechtenstien pada perlawanan kelayakan kedua di Parma sementara Finland akan bertandang ke Armenia Selasa ini. — AFP

Advertisement