Anda di sini

Faiz sedia sarung jersi skuad Harimau Malaya

Advertisement
 Mohd Faiz (kanan) mengasak pemain Afghanistan Haroon Amiri (kiri) pada separuh akhir Kejohanan Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas. — Gambar Bernama
AKSI TERBAIK: Mohd Faiz (kanan) mengasak pemain Afghanistan Haroon Amiri (kiri) pada separuh akhir Kejohanan Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir bersedia untuk terus menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil pada masa hadapan.

Bertubuh kecil dengan ketinggian 157 sentimeter (cm), Mohd Faiz berkata semangatnya untuk menyumbang bakti kepada pasukan negara tidak akan luntur meskipun ada yang mempertikaikan akan saiz fizikalnya itu.

“Kalau ikutkan saiz saya yang kecil ini ramai orang tidak percaya yang saya boleh bermain untuk Malaysia. Tetapi itu bukan halangan untuk saya.

“Jika selepas ini saya dipanggil semula (bersama skuad kebangsaan), saya akan bermain,” katanya kepada pemberita selepas aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu lalu.

Pada aksi itu, Mohd Faiz, 27, memperkenalkan dirinya kepada peminat bola sepak tanah air dengan menampilkan aksi berkualiti tinggi dalam keadaan hujan lebat untuk membantu Malaysia menewaskan Afghanistan 2-1.

Lebih manis, jaringan pada minit ke-43 yang menjadi gol pertamanya dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan telah membangkitkan semangat pasukan untuk berjuang memburu kemenangan sehingga wisel penamat.

Sebagai rekod, Mohd Faiz tidak diturunkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ketika Malaysia tewas 0-1 kepada Singapura pada aksi separuh akhir, Rabu lepas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jaringannya, Mohd Faiz dengan sifat rendah dirinya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih di atas kepercayaan terhadap kemampuan dirinya.

“Memang ada sikit tekanan tetapi sebab sudah dua minggu berlatih, jadi saya boleh kawal perasaan itu dalam permainan. Gol pertama dalam aksi pertama itu mungkin ia adalah rezeki saya,” kata anak jati Pasir Mas, Kelantan itu. — Bernama

Advertisement