Anda di sini

Dana asing adalah pembeli bersih, aliran masuk bersih RM90.2j dalam ekuiti Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dana asing merupakan pembeli bersih dengan bursa tempatan mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM90.2 juta antara 18 Mac dan 21 Mac berbanding jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM472.2 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata purata nisbah penyertaan dana asing antara 18 Mac dan 24 Mac sebanyak 26.8 peratus berbanding 24.7 peratus antara 11 Mac dan 14 Mac.

“Ia tidak jelas sebab dana institusi asing mengumpul ekuiti Malaysia secara berperingkat berikutan penurunan dalam FBM KLCI agak berbeza berbanding dengan indeks serantau,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pasaran sedang pesat membangun mencatat prestasi yang baik pada minggu ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada Rabu yang menunjukkan Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar faedahnya dan dijangka akan cenderung kepada mengurangkan Kadar Dana Fed pada masa akan datang.

“Ini berikutan semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 dan 2020 daripada 2.3 peratus dan 2.0 peratus dibuat pada Disember 2018, masing-masing kepada 2.1 peratus dan 1.9 peratus.

“Kemungkinan, nilai-nilai menjadi jelas yang akan menarik pelabur institusi asing untuk membeli saham Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew menjangka dana asing akan mengekalkan kedudukan pembeli bersih mereka sekurang-kurangnya untuk sebulan lagi, walaupun, tidak agresif.

Bersependapat dengan Mohd Afzanizam, Pong berkata pendirian Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah dijangka menjadi antara sebab untuk dana asing memutuskan untuk mengubah kedudukan mereka pada minggu ini, selepas menjadi penjual bersih sebelum ini.

“Apabila mereka berhenti menaikkan kadar, ini akan mengukuhkan mata wang pasaran sedang pesat membangun. Kita mula melihat ringgit naik.

“Kami menjangka beberapa dana akan mengambil peluang daripada mata wang pasaran sedang pesat membangun (akan meningkat),” katanya.

Pada Jumaat, ringgit berada pada 4.0600/0650 berbanding dolar AS daripada 4.0890/0940 dicatatkan pada Jumaat lepas manakala petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada 1,666.66 berbanding 1,680.54 minggu lepas.

Mengenai masa depan, Mohd Afzanizam berkata pasaran dapat menjangka tahap ketidaktentuan yang tinggi berikutan perjanjian Brexit yang rumit.

Ahli Parlimen Britain dijangka mengundi mengenai Brexit pada 29 Mac.

“Ini amat penting kepada Perdana Menteri Britain Theresa May yang berharap mendapat lanjutan kepada tarikh akhir Brexit. Ahli Parlimen UK perlu menunjukkan kesungguhan mereka untuk membolehkan peralihan yang lancar selepas keluar daripada Kesatuan Eropah,” kata Mohd Afzanizam.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan laporan tahunan 2018 pada 27 Mac dan pelabur akan meneliti unjuran pertumbuhan ekonomi dan pendirian dasar monetari pada taklimat penganalisis yang dijadualkan pada hari yang sama.

Antara perkembangan utama pada minggu ini ialah edisi ke-15 Invest Malaysia, forum pasaran modal dianjurkan secara bersama oleh Bursa Malaysia Bhd dan Malayan Banking Bhd.

Pada acara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan banyak membuang masa dalam tahun pertamanya untuk menyelesaikan pelbagai masalah besar yang ditimbulkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).  

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH berkata, dalam tempoh sepuluh bulan pentadbirannya, kerajaan menyedari sepenuhnya perasaan rakyat.  

Dari segi korporat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa bank untuk lebih fleksibel dalam memberi pinjaman, berikutan aduan mengenai akses yang ketat kepada pinjaman kepada pelabur tempatan.

Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd berkata ia komited untuk menyuntik dana kepada syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd, walaupun terdapat saranan baru-baru ini untuk menutupnya.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan enggan mendedahkan jumlah yang telah dikeluarkan setakat ini.

Pada awal tahun lepas, dana kekayaan negara itu dilaporkan telah mengeluarkan 70 peratus atau RM4.4 bilion kepada syarikat penerbangan nasional itu. — Bernama

Advertisement