Anda di sini

Belanjawan Negeri besar sebab PH lemah dalam mentadbir

Advertisement
 Abdullah pada upacara ringkas penyerahan Projek Naik Taraf Titian Belian Dalam Kampung Tanjung Bundung yang telah siap dibina.
SUDAH SIAP: Abdullah pada upacara ringkas penyerahan Projek Naik Taraf Titian Belian Dalam Kampung Tanjung Bundung yang telah siap dibina.

BINTANGOR: Menyedari kelemahan PakatanHarapan (PH) dalam mentadbir negara serta hala tuju pentadbiran tidak menentu di peringkat persekutuan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyediakan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Sarawak 2019.

Belanjawan hampir RM12 bilion itu bertujuan mempercepatkan pembangunan terutama di kawasan luar bandar apabila 67 peratus atau RM6.05 bilion diperuntukkan bagi kawasan itu.

Justeru, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata kesungguhan dan keberanian Ketua Menteri dalam penyediaan belanjawan terbesar ini sewajarnya disokong dan disambut baik semua warga Sarawak.

“Perbelanjaan peruntukan negeri yang besar juga diselaras dengan usaha untuk menambah pendapatan negeri antara lain melalui pengenalan cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Keluarga Kampung Tanjung Bundung di sini, kelmarin.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop berkata, matlamat Kerajaan Sarawak adalah untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar termasuk kawasan diwakilinya.

“Sebahagian besar kawasan DUN Semop adalah kawasan pedalaman, saya amat menyedari keperluan utama kawasan ini adalah pembangunan infrastruktur asas.

“Penyaluran peruntukan yang mencukupi dan segera amat penting untuk membaiki keadaan infrastruktur asas ini,” jelasnya.

Menurutnya, sebelum Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diperkenalkan, proses penyaluran peruntukan untuk projek-projek kecil dan sederhana terutama daripada kerajaan persekutuan sangat lambat hingga menjejaskan pelaksanaan.

“Kita amat menghargai asa AllahyarhamTok Nan yang memperkenalkan RTP yang menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri.

“Semua wakil rakyat yang mewakili luar bandar akan mengakui peruntukan RTP ini membantu menyegerakan banyak projek keperluaan asas di luar bandar seperti menaik taraf jalan dalam kampong dan pembinaan dewan masyarakat yang baharu,” katanya.

Katanya, Sarawak merupakan negeri tunggal dalam negara yang mempunyai program pembangunan luar bandar unik menerusi RTP.

Keadaan semakin sukar apabila PH mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan kerana setakat ini belum nampak kesungguhan mereka membantu pembangunan luar bandar terutama di Sarawak, katanya.

“Malah banyak projek atau peruntukan yang telah diluluskan pentadbiran persekutuan terdahulu dibatalkan PH sejakmengambil alih Putrajaya,” ujarnya.

Sementara itu, program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Bundong, Ranting Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Tanjung Bundung dengan kerjasama PBB N.46 Meradong dan SABERKAS Cawangan Meradong itu dihadiri lebih 300 penduduk

Abdullah turut menyaksikan majlis ringkas penyerahanprojek RTP menaik taraf titian belian dalam kampung Tanjung Bundung yang telah siap bernilai RM169,466.62.

“Saya juga mahu jalan raya masuk ke kampong ini ditarkan (diturap) dengan segera. Pada masa yang sama, saya akan berusaha merealisasikan impian penduduk yang mahu sebuah dewan untuk mereka melaksanakan aktiviti,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menghulurkan RM5,000 untuk pelaksanaan program sekolah tahun 2019 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sian, sumbangan RM3,000 bagi penganjuran aktiviti PIBG dan sekolah tahun 2019 SK Tanjung Bundung dan RM3,000 untuk Kem Motivasi Zon Sungai 2019 SK Sungai Selidap.

Selain itu, Abdullah turut menyampaikan sumbangan baju kemeja-T Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada PBB Ranting Tanjung Bundung.

Selain program itu, Abdullah turut merasmikan Pertandingan Gusti Lenganan juran Persatuan Gusti Lengan Bintangor dan Program Penulisan Puisi di Surau Darul Ehsan.

Turut hadir Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Setiausaha Politik Ketua Menteri Faridah Osman dan pemimpin masyarakat setempat.

  • oleh
  • Advertisement