Anda di sini

Adli raih tali pinggang WBC

Advertisement
 Adli Hafidz diumumkan sebagai pemenang selepas menewaskan Bambang Rusiadi untuk merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori Middleweight di Kompleks Sukan Daiman Johor Jaya malam kelmarin. — Gambar Bernama
JUARA: Adli Hafidz diumumkan sebagai pemenang selepas menewaskan Bambang Rusiadi untuk merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori Middleweight di Kompleks Sukan Daiman Johor Jaya malam kelmarin. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi berjaya merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori super middleweight dalam Kejohanan Tinju Profesional Antarabangsa WBC Championship, di sini malam kelmarin.

Adli yang juga pemenang pingat perak kategori light heavy 81 kilogram di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu menewaskan Bambang Rusiadi dari Indonesia pada pusingan kelima menerusi kiraan ‘technical knockout’ (TKO) sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Kemenangan itu dilakarnya setelah petinju dari Indonesia itu tidak mampu meneruskan perlawanan dan menarik diri pada pusingan kelima.

Menurut Adli, kemenangan keenamnya itu amat bermakna kerana ia dirangkul di negeri kelahirannya sendiri walaupun menerima tentangan hebat daripada Bambang pada awal perlawanan.

Katanya, kemenangannya juga hasil usaha dan kerja kerasnya selama dua tahun dalam arena profesional.

“Perlawanan pada malam ini adalah sebanyak lapan pusingan, tetapi beliau ( Bambang)  menarik diri ketika pusingan kelima kerana pusingan keempat satu tumbukan mengena di dagu dan rusuknya.

“Walaupun peninju Indonesia itu sangat berpengalaman dan profesional sejak 2002, tetapi saya gunakan kelebihan stamina saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu yang diadakan di Kompleks Sukan Daiman Johor Jaya, di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kastam Negeri Johor, Musa Mahadi.

Sementara itu, Adli menyasarkan lebih banyak perlawanan dan latihan dilakukan pada tahun ini.

“Saya akan meneruskan kerjaya saya dan mungkin akan berlatih untuk merebut kejuaraan seterusnya pada tahun ini.

“Selepas itu, saya akan menyambung latihan dan perlawanan saya ke Amerika Syarikat,” katanya. — Bernama

Advertisement