Anda di sini

97 anggota Jabatan Penjara tawau terima kenaikan pangkat

Advertisement
SARIFUDDIN, Rosman dan semua anggota Penjara Tawau bergambar kenangan dalam majlis itu.
SARIFUDDIN, Rosman dan semua anggota Penjara Tawau bergambar kenangan dalam majlis itu.

TAWAU: Seramai 97 anggota Jabatan Penjara Tawau telah menerima kenaikan pangkat sempena sambutan Hari Penjara Ke-229 yang diadakan di Dewan Wawasan Taman Ehsan, di sini hari ini.

Pemakaian pangkat yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan WP Labuan PKK Rosman Norman itu melibatkan seramai empat orang penerima KA 29 pangkat Inspektor, 91 penerima KA 22 (TBBK) pangkat Sarjan dan dua menerima KA 20 pangkat Koperal.

Rosman berkata, Jabatan Penjara banyak memberikan sumbangan kepada negara kerana tidak hanya semata-mata melaksanakan hukuman tetapi dapat memberikan ilmu kepada banduan.

"Jabatan Penjara memberikan pendedahan dalam bentuk kemahiran, pendidikan akademik, agama, membentuk sahsiah diri, disiplin dan jati diri supaya mereka akhirnya dikembalikan kepada masyarakat dengan bekalan ilmu serta dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama komuniti," katanya.

Menurutnya tanpa sokongan daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta, syarikat GLC, badan bukan kerajaan dan masyarakat, semua program pemulihan yang dilaksanakan tidak akan berjalan dengan baik.

"Kerjasama daripada pihak luar sangat penting untuk sama-sama berganding bahu dalam merealisasikan semua bentuk program yang hendak dilaksanakan kepada semua penghuni penjara," katanya.

Beliau berkata, cabaran kesesakan dalam penjara sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pengurusan dan usaha pemulihan penghuni, dan hampir setiap institusi penjara seluruh negara menghadapi masalah itu.

"Peningkatan jumlah penghuni kini hampir mencecah 70,000 iaitu kadar kesesakan sekitar 32.45 peratus melebihi kapasiti sebanyak 52,850 penghuni di seluruh institusi penjara," jelasnya.

Katanya, usaha sedang giat dijalankan bagi memperkasakan pemulihan dalam komuniti yang merupakan reformasi berimpak tinggi dan ternyata memberi kesan positif dalam bidang pemulihan selaras dengan tema Hari Penjara tahun ini, 'Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera'.

"Saya dan pengurusan tertinggi Jabatan Penjara telah mendapat persetujuan Menteri Dalam Negeri bagi melaksanakan program pemulihan dalam komuniti dengan meletakkan sasaran 2/3 banduan sabitan yang layak dan terpilih menjelang tahun 2030," katanya.

Rosman berharap semua warga Jabatan Penjara Tawau dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik serta memberikan komitmen yang tinggi dalam memulihkan penghuni agar menjadi insan yang berbakti kepada bangsa dan negara.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Sarifuddin Hata itu juga telah menyampaikan pingat perkhidmatan awam kepada 10 guru koreksional dari SMK Abaka dan SMK Pasir Putih.

  • oleh
  • Advertisement