Anda di sini

Tibi: Bahagian Sibu catatkan 21 kematian pada tahun lalu

Advertisement
 Lau (tengah) sambil diiringi Dr Teh (tiga kiri) serta yang lain ketika melawat kaunter kesihatan pada Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Bahagian Sibu 2019, semalam.
TINJAU: Lau (tengah) sambil diiringi Dr Teh (tiga kiri) serta yang lain ketika melawat kaunter kesihatan pada Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Bahagian Sibu 2019, semalam.

SIBU: Bahagian Sibu mencatatkan 21 kematian akibat penyakit tibi tahun lalu, kata Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng.

Ini menunjukkan penurunan daripada 53 kematian pada 2017, 2016 (45 kematian) dan 2015 (35 kematian).

“Kita bersyukur kerana kes kematian akibat penyakit tibi di bahagian Sibu menurun pada tahun lepas.

“Justeru, kita mengucapkan syabas kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Bahagian Sibu 2019 di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun dan Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung.

Bercakap mengenai statistik penyakit itu di bahagian Sibu, Lau berkata, jumlah kes tibi yang didaftar untuk 2018 ialah sebanyak 464 kes diikuti 2017 (393 kes), 2016 (402 kes) dan 2015 (358 kes).

Lau berpendapat, peningkatan kes penyakit tibi adalah ekoran daripada aktiviti pengesanan dan saringan kes yang dilakukan secara intensif.

“Saya menasihatkan pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu supaya menjalankan aktiviti pengesanan penyakit tibi secara menyeluruh dan serius. Ini amat perlu supaya mereka yang berisiko tinggi dapat diberikan rawatan lengkap dan sempurna,” ujarnya.

Sehubungan itu, Lau menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama membantu Jabatan Kesihatan untuk mengesan dan membawa mereka yang menghidap penyakit tibi mendapatkan rawatan sepenuhnya sehingga sembuh dan meningkatkan kesedaran tentang penularan jangkitan tibi dalam masyarakat di negeri ini khususnya di Sibu.

“Sebagai masyarakat, kita mempunyai tanggungjawab yang besar di mana semua pihak tidak kira siapa perlu berganding tangan bagi memastikan penyakit ini dapat dicegah dalam masyarakat dan persekitaran kita secara meyeluruh,” tambahnya.

Terdahulu, Dr Teh dalam ucapan alu-aluannya berkata, tema sambutan Hari Tibi Sedunia pada kali ini ialah ‘Inilah Masanya: Kesan, Rawat dan Pastikan Sembuh Tibi.’

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengadakan kempen kesedaran penyakit tibi ini secara menyeluruh di seluruh Sarawak bermula 5 Mac lalu hingga semalam.

Beliau memberitahu, matlamat sambutan tersebut adalah untuk mengadakan aktiviti promosi dan pencegahan, memperkukuhkan aktiviti pengesanan dan juga rawatan penyakit tibi.

“Antara objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penularan jangkitan tibi dalam kalangan masyarakat di negeri ini umumnya dan bahagian Sibu khasnya.

“Ia juga sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan langkah-langkah pencegahan jangkitan tibi,” katanya lagi.

Sempena dengan sambutan tersebut beberapa aktiviti seperti forum, saringan tibi percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran kesihatan telah diadakan.

Advertisement