Anda di sini

Stesen kuasa 'tiga dalam satu' petrol, hidrogen, elektrik bakal dibina - Abang Jo

Advertisement
Abang Johari menerima kemeja-T daripada Dzamaluddin sebagai simbolik pelancaran #Team Pemuda PBB N8 Satok pada perasmian Garage Sale Muda Hashim 4.0 2019, Sabtu malam.
Abang Johari menerima kemeja-T daripada Dzamaluddin sebagai simbolik pelancaran #Team Pemuda PBB N8 Satok pada perasmian Garage Sale Muda Hashim 4.0 2019, Sabtu malam.

KUCHING: Sarawak bakal menjadi negeri pertama dalam negara yang akan membina kemudahan stesen bagi membekal kuasa petrol, hidrogen dan caj elektrik kepada kenderaan pengangkutan awam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedang berbincang secara serius mengenai rancangan pembinaan stesen tiga dalam satu tersebut.

Langkah itu juga katanya, menjadi sebahagian daripada usaha Sarawak untuk mencapai revolusi perindustrian 4.0 yang bertujuan untuk meluaskan penggunaan bahan api yang tidak mencemarkan alam sekitar.

“Sebagai permulaan, kita telah menggunakan perkhidmatan bas kuasa elektrik untuk membawa pelancong di sekitar pusat bandar raya. Dan sedikit masa lagi kita akan memperkenalkan bas hidrogen yang  dijangka digunakan akhir April atau awal Mei.

“Kerajaan sedang memperinci rancangan untuk membina stesen tiga dalam satu bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Manakala Sarawak Energy Berhad (SEB) berperanan memperkenalkan teknologi penggunaan kuasa tenaga baharu yang boleh digunapakai lagi mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Garage Sale Muda Hashim 4.0 2019 anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N8 Satok di Perkarangan Tempat Letak Kereta Bangunan RHB Bank Kulas di sini, malam tadi.

Abang Johari percaya usaha itu akan menjadi platform untuk membawa lebih kemajuan dalam industri tenaga pada masa depan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggesa usahawan muda agar menggunakan teknologi untuk membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Program Garage Sale 4.0 merupakan antara usaha parti untuk memberi pendekatan baharu kepada generasi muda tentang cara perniagaan alaf baharu termasuk pemasaran dalam talian,” katanya sambil menyebut cara penggunaan Sarawak Pay.

“Justeru, Pemuda PBB Satok diminta supaya mengadakan seminar untuk memberi penerangan khusus tentang penggunaan teknologi dalam perniagaan,” tambah beliau.

Hadir sama, Ketua Pemuda PBB N8 Satok, Dzamaluddin Zainudin dan tetamu jemputan lain.

  • oleh
  • Advertisement