Anda di sini

Proses tender projek naik taraf LTAPP dijangka akhir tahun ini

Advertisement

GEORGE TOWN: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dilaksanakan secara tender terbuka dan proses tender dijangka dijalankan akhir tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan dua projek iaitu projek menaik taraf LTAPP dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dengan syarat ia perlu dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

“Banyak pihak yang berminat untuk melabur dalam LTAPP memandangkan mereka menyaksikan potensi berdasarkan daripada kapasiti maksimum 6.5 juta kita telah mencapai lapan juta malah projek ini tidak akan bermula daripada sifar kerana kajian boleh laksana telah siap.

“Saya berharap tender ini akan dilaksanakan pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu bagi Aemulus Corporation Sdn Bhd di Bayan Lepas semalam.

Beliau berkata projek naik taraf LTAPP akan lebih cepat dilaksanakan memandangkan kajian boleh laksana telah dibuat lebih awal dan kehadiran penumpang juga melebihi kapasiti maksimum.

Kapasiti maksimum LTAPP dijangka bertambah kepada 16 juta penumpang setahun apabila kerja-kerja naik taraf itu selesai selain berpotensi ditingkatkan lagi kepada 20 juta penumpang setahun pada masa depan menerusi PFI, katanya.

Lim berkata projek naik taraf LTAPP dan pembinaan KXP yang akan dibiayai pihak swasta telah mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang ada hari ini memandangkan kedua-dua projek berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan terdahulu.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang meminta kajian boleh laksana dilakukan ke atas projek KXP, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata semua projek lapangan terbang perlu menjalankan kajian tersebut.

“Cadangan untuk membina KXP masih di peringkat menunggu pihak pelabur untuk mengemukakan cadangan mereka sebelum kita memuktamadkan sebarang perkara,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kewangan tidak akan membantah cadangan pembinaan KXP sekiranya dilaksanakan menerusi PFI.

Selasa lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun pada Rabu, Chow meminta kerajaan pusat melakukan kajian boleh laksana sebelum memulakan projek pembinaan KXP. — Bernama

Advertisement