Anda di sini

Piala Sudirman 2019: BAM sedia pertimbang beregu profesional

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mempertimbang untuk memanggil dua beregu profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bersama skuad kebangsaan bagi saingan Piala Sudirman di Nanning, China, bermula 19 hingga 26 Mei ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata BAM perlu membuat keputusan yang holistik dengan mengambil kira prestasi pemain dalam naungan badan induk sukan itu yang kini menunjukkan peningkatan dalam beberapa kejohanan.  

“Seperti saya katakan, kita akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat untuk membincangkan persediaan Piala Sudirman. Kalau kita lihat, BAM juga mempunyai banyak pilihan (pemain).  Kita mahu meletakkan pasukan yang hebat.

“Sudah pasti kami akan mempertimbangkan mereka (pasangan profesional) untuk dimasukkan ke dalam pasukan kebangsaan. Saya juga menghargai kenyataan mereka kepada media yang bersedia membantu skuad kebangsaan bagi Piala Sudirman nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di bangunan OCM di sini semalam.

Berdasarkan undian, skuad badminton negara berdepan laluan berliku pada saingan Piala Sudirman apabila Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China dan India.

China dan India sememangnya memiliki kelebihan berdasarkan barisan pemain ketika ini selain menyaksikan kedua-dua pasukan itu tampil sebagai pilihan kedua dan kelapan kejohanan.

Malaysia pula diletakkan sebagai pilihan kesembilan.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai prestasi skuad kebangsaan pada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia yang berakhir semalam, Mohamad Norza menyifatkan pemain muda mempamerkan peningkatan positif menerusi kemampuan mereka menandingi pemain lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi dalam beberapa perlawanan.

“Kalau kita lihat keputusan peringkat kumpulan, kita kalah tipis kepada China 2-3. Pada aksi peringkat kumpulan menyaksikan pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei berjaya mengatasi pemain berada pada ranking lebih baik daripadanya.

“Begitu juga dengan beregu campuran dan beberapa pemain lain. Saya akui yang menjarakkan prestasi pemain negara dan pasukan lain adalah pengalaman. Jepun lebih berpengalaman dan rata-rata pemain berada di kedudukan 20 terbaik dunia,” jelasnya. — Bernama

Advertisement