Anda di sini

Permohonan naik taraf Kem Pengakap Tiku akan dibincang

Advertisement
FRANKIE (dua kanan) dan Mej. Baharuddin (dua kiri) tertarik dengan suasana di Kem Pengakap Tiku Tawau.
FRANKIE (dua kanan) dan Mej. Baharuddin (dua kiri) tertarik dengan suasana di Kem Pengakap Tiku Tawau.

TAWAU: Permintaan Pengakap Tawau untuk menaiktaraf Kem Pengakap Tiku akan dibincangkan lebih mendalam di peringkat Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Menterinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata masih belum menerima sebarang maklumat baharu mengenai status terkini kem terbabit sebelum membuat keputusan.

“Kita akan bawa isu ini dan bincang di peringkat kementerian untuk menilai jenis bantuan yang boleh diberikan termasuk melibatkan menaiktaraf fasiliti di sini.

 “Kita baharu mentadbir sembilan bulan, tetapi jika saya berjanji, saya sendiri akan pantau dan terlibat di dalam perbincangan itu, bukannya ‘membuang idea itu’.

 “Saya tidak biasa dengan kem ini sebab itu saya perlu melihat dan menilai dulu keperluannya sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang,” katanya.

Frankie berkata demikian semasa ditemui media selepas berucap merasmikan Jambori Nusantara Antarabangsa Kali Ke-Dua di Kem Pengakap Tiku di sini hari ini.

Menurutnya, keutamaan kementerian berhubung soal menambah baik fasiliti sedia ada atau menaik taraf kem itu juga bergantung kepada faktor mendesak yang ada.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Mej. Baharuddin Datuk Chinchang Ujang berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Pengakap Tawau.

“Kita nasihatkan Pengakap Tawau untuk menyediakan kertas kerja dan pada masa sama mengadakan mesyuarat dengan semua pihak berkaitan,” katanya.

Mej. Baharuddin berkata walaupun baharu pertama kali ke kem itu, namun beliau tertarik dengan lokasinya yang disifatkan sesuai untuk aktiviti outdoor pengakap.

Pada masa sama, menaruh harapan supaya kementerian dapat menaiktaraf kem terbabit kerana Kem Pengakap Tiku disifatkannya kem kedua terbaik di Sabah.

“Kita juga melihat kepentingan kem ini kerana berada di kawasan sempadan negara yang turut menjadi tumpuan tetamu dari Indonesia dan Brunei Darussalam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement