Anda di sini

Pembinaan Empangan Papar akan dilaksanakan segera

Advertisement
PETER (tengah) bersama para peserta 7 KM Fun Run.
PETER (tengah) bersama para peserta 7 KM Fun Run.

PENAMPANG: Pembinaan Empangan Papar akan dilaksanakan dengan segera bagi mengatasi kekurangan air yang dihadapi pada ketika ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, walaupun kerajaan mempunyai Empangan Babagon, loji di sekitar Tuaran dan Beaufort, tetapi bekalan air masih tidak mencukupi sepenuhnya.

"Empangan ini perlu dilaksanakan sebab sekiranya tidak dapat dilaksanakan maka masalah kekurangan air akan berlarutan.

"Kita percaya bahawa penambahan penduduk di sekitar Kota Kinabalu dan di Penampang sebagai contoh memerlukan penambahan air.

"Justeru, Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) akan melaksanakan pembinaan Empangan Papar dengan kadar yang segera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan 7 KM Fun Run anjuran Jabatan Air Negeri Sabah sempena sambutan Hari Air Sedunia di Stadium Penampang, di sini hari ini.

Turut diadakan adalah Program Hari Bertemu Pelanggan. Pengisian lain ialah pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan tiket bertuah.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Amarjit Singh dan Pegawai Daerah Penampang Robert Stidi.

Peter berkata, Empangan Papar kini dalam peringkat reka bentuk di samping membuat pemantauan serta persediaan teknikal dalam tempoh kira-kira enam bulan dan apabila ia siap, pembinaan empangan itu akan diaksanakan tahun depan.

"Kita telah kenal pasti lokasi serta keadaan sungai dan kita menunggu laporan keseluruhan daripada Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi yang berkaitan sebelum pelaksanaan empangan itu," katanya.

Mengenai Empangan Ulu Padas, Peter berkata di samping membekalkan air, ia juga akan membekalkan elektrik kepada pengguna di Tenom, Beaufort, Sipitang dan kawasan yang berdekatan, dan empangan itu juga akan dilaksanakan dengan kadar segera.

Sementara itu, Peter berkata beliau dimaklumkan di peringkat jabatan bahawa daripada 14 loji air sedia ada, hanya enam yang masih kritikal, dua daripadanya adalah di Tawau dan Semporna.

"Tapi saya percaya kedudukan dalam masa terdekat ini akan berubah sekiranya hujan yang turun tiga hari yang lepas ini akan berlarutan," katanya.

Beliau berkata, KPI telah pun membuat persediaan kemungkinan akan membuat pembenihan awan untuk membolehkan hujan turun.

"Tapi pada ketika ini, kita lihat pembenihan awan itu belum diperlukan kerana kita nampak dua tiga hari ini sudah ada hujan dan kita harap ia akan berterusan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement