Anda di sini

Pelbagai pihak tampil ringankan beban mangsa tragedi kebakaran

Advertisement
 Latiff (kiri) menyampaikan sumbangan daripada Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur Sibu dan ACS Cawangan Sibu kepada salah seorang wakil mangsa kebakaran yang turut disaksikan oleh Dr Annuar (tiga kiri) serta (dari dua kanan) Suhaili dan Siaw.
DIBANTU: Latiff (kiri) menyampaikan sumbangan daripada Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur Sibu dan ACS Cawangan Sibu kepada salah seorang wakil mangsa kebakaran yang turut disaksikan oleh Dr Annuar (tiga kiri) serta (dari dua kanan) Suhaili dan Siaw.

SIBU: Pelbagai pihak tampil untuk meringankan beban 57 mangsa daripada 13 keluarga di Jalan Kampung Baharu dan Jalan Isau di sini selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran tengah hari kelmarin.

Bagi pihak Pusat Khidmat Nangka, Menteri Muda Pendidikan dan Penyeidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, mereka menyalurkan bantuan kilat berupa sewa rumah selama enam bulan berjumlah RM1,800 untuk sebuah keluarga.

Manakala, bantuan RM250 untuk setiap seorang mangsa kebakaran turut dihulurkan, tambahnya.

“Kita harap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesemua mangsa untuk mencari tempat berteduh yang baharu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan perjumpaan dengan mangsa di pejabat Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) di Masjid An-Nur Sibu di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur Sibu Latiff Kupon, Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohamed dan Kapten Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu Frankie John Jawan.

Selain sumbangan daripada Pusat Khidmat Nangka, mangsa kebakaran turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Pegawai Bencana Bahagian JKM Sibu Mohd Afif Shafiq Mohd Alwi, antara bantuan yang dihulurkan adalah set tilam berserta bantal dan selimut untuk setiap seorang, bantuan perkakas dapur untuk satu isi keluarga, makanan kering bernilai RM50 selama tujuh hari untuk setiap seorang dan bantuan wang ringgit untuk seisi keluarga.

“Bagi mangsa yang ingin memohon bantuan membaik pulih rumah, kita ada menyediakan bantuan bahan binaan bernilai RM300 minimum dan maksimum RM5,000,” ujarnya.

Turut memberikan sumbangan ialah daripada Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur Sibu, Persatuan Gereja Sarawak (ACS) Cawangan Sibu, badan-badan korporat dan individu persendirian.

Justeru, Dr Annuar mencadangkan supaya satu jawatankuasa ditubuh bagi menguruskan segala bentuk sumbangan dan derma daripada orang ramai.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan dianggotai sendiri oleh mangsa kebakaran dan agihan segala bentuk sumbangan dan derma akan ditentukan oleh jawatankuasa tersebut.

“Oleh itu, Surau Darul Ma’wa di Kampung Baharu di sini akan dijadikan Pusat Pengumpulan Derma.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan atau derma kepada semua mangsa kebakaran, bolehlah datang terus ke pusat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak lapan rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar 12 tengah hari kelmarin.

Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran itu.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba dan anggaran kerugian belum dikenal pasti.

Advertisement