Anda di sini

Paderi ditikam ketika Misa Pagi secara langsung di Kanada

Advertisement
 Polis menyediakan kawalan keselamatan di Oratori Saint Joseph di Montreal kelmarin selepas paderi Katolik Grou ditikam sewaktu sembahyang misa yang disiarkan secara langsung oleh televisyen. Suspek ditangkap di basilika Roman Katolik itu sejurus selepas serangan di hadapan 50 jemaah dan penonton televisyen sekitar jam 8.40 pagi, sementara Grou dibawa ke hospital. — Gambar AFP
DIKAWAL KETAT: Polis menyediakan kawalan keselamatan di Oratori Saint Joseph di Montreal kelmarin selepas paderi Katolik Grou ditikam sewaktu sembahyang misa yang disiarkan secara langsung oleh televisyen. Suspek ditangkap di basilika Roman Katolik itu sejurus selepas serangan di hadapan 50 jemaah dan penonton televisyen sekitar jam 8.40 pagi, sementara Grou dibawa ke hospital. — Gambar AFP

MONTREAL: Seorang paderi ditikam di hadapan jemaatnya ketika sembahyang Misa Pagi yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen kelmarin di gereja terbesar di Kanada, dalam insiden yang digambarkan oleh polis sebagai terpencil.

Siaran rakaman di sebuah stesen televisyen Katolik dan dikesan oleh rangkaian CTV yang ditaraf tinggi menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar jean, parka dan topi besbol putih mendekati Claude Grou di Oratori St Joseph di Montreal, di hadapan 60 anggota paroki yang terkejut.

Dia kelihatan mengejar paderi itu di sekeliling altar dan berdiri dengan menakutkan di atas paderi berusia 77 tahun itu apabila paderi itu terjatuh di atas lantai, menyebabkan lilin dan sebuah panji terjatuh, sebelum dia menikam mangsa.

Saksi Adele Plamondon memberitahu badan penyiaran awam Radio-Canada, paderi itu yang terselamat dengan kecederaan ringan baru mahu membaca Injil apabila “lelaki ini mengeluarkan pisau dan berlari ke atas untuk menikamnya”.

“Saya sangka dia hanya akan berlutut di hadapan altar untuk berdoa, seperti apa yang dibuat oleh kebanyakan orang,” katanya.

Suspek berdiam diri sewaktu melakukan serangan tetapi nampak “sangat berazam”, tambah Plamondon.

Grou pulih secukupnya untuk berdiri dan kelihatan berundur ketika pegawai keselamatan mengepung penyerang, yang membuang pisaunya.

Tiga pengawal menahannya sementara orang lain merawat Grou, yang kelihatan terkejut.

Paderi itu dibawa ke hospital, di mana keadaannya dikatakan stabil, dan polis melaporkan kepada AFP bahawa beliau “cedera sedikit di bahagian atas badan”.

Gereja terbabit telah ditutup tetapi sembahyang Misa disambung kemudian.

Suspek berusia 26 tahun, dengan nama yang tidak didedahkan, dihadapkan ke mahkamah semalam menerusi hubungan video dari sebuah kemudahan penahanan.

Polis tidak memberitahu motif bagi serangan itu, tetapi jurucakap Caroline Chevrefils memberitahu AFP suspek “dikenali polis”.

“Ini adalah serangan terpencil, dan tiada apa yang mengaitkannya dengan terorisme,” tambahnya.

Jurucakap gereja Celine Barbeau berkata Grou sedar ketika dia dikejarkan dari tempat kejadian.

“Kami harap beliau akan kembali sihat,” tambahnya.

Perdana Menteri Justin Trudeau berucap untuk mengecam ‘serangan dahsyat” itu manakala Datuk Bandar Valerie menyifatkan serangan itu sebagai “satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan dan tidak ada tempat di Montreal”.

“Semua kami terkejut dengan tindakan keganasan ini di tempat yang diabadikan kepada keamanan,” Uskup Agung Montreal, Christian Lepine, menyebut dalam satu kenyataan sambil meratapi bahawa tempat ibadat boleh menjadi sasaran keganasan.

Oratori Saint Joseph, yang dibina daripada 1920 hingga 1955, terletak di puncak permukaan utara Gunung Royal yang berdepan dengan metropolis kedua terbesar di Kanada, dan menarik kira-kira dua juta penziarah dan pelancong setiap tahun.

Makam kebangsaan itu ditubuhkan oleh Brother Andre Bessette, seorang tokoh agama yang amat penting di kalangan warga Perancis-Kanada, yang diangkat sebagai orang suci oleh Pope Benedict pada 2010 kerana kebaktiannya kepada orang sakit dan orang kurang upaya.

Jean-Francois Lefebvre, yang bekerja di hadapan oratori ketika serangan berlaku, berkata dia melihat polis tiba dan membawa suspek dengan tangan bergari.

“Saya mendapati insiden ini sangat malang, di sebuah tempat yang begitu indah, yang menarik jutaan pelawat,” katanya kepada AFP.

“Dengan apa yang berlaku di Christchurch, nampaknya semua tempat ibadat sedang disasari,” tambahnya, yang merujuk kepada serangan di dua masjid di New Zealand pada Jumaat lepas yang mengorbankan 50 orang dan mencederakan 50 lagi.

Pada 2017, seorang penembak turut menembak mati enam jemaat di sebuah masjid di Quebec City. — AFP

Advertisement