Anda di sini

Mozambique, Zimbabwe, Malawi musnah teruk akibat taufan Idai

Advertisement
 Seoarang lelaki berdiri di atas rumahnya selepas dibadai Siklon Idai di daerah Buzi di luar Beira, Mozambique kelmarin. — Gambar Reuters
BENCANA ALAM: Seoarang lelaki berdiri di atas rumahnya selepas dibadai Siklon Idai di daerah Buzi di luar Beira, Mozambique kelmarin. — Gambar Reuters

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan kemanusiaan di Mozambique, Zimbabwe dan Malawi untuk membantu mangsa terselamat dalam taufan tropika Idai, lapor agensi berita Xinhua.

“Di Mozambique, negara paling teruk terjejas, kerajaan telah mengisytiharkan darurat apabila angka kematian dilaporkan mencecah 242 orang dan dijangka melebihi 1,000,” jurucakap pelarian Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Babar Baloch.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata dalam satu kenyataan, lebih ramai kakitangan dihantar ke tiga negara terbabit dan bekerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Palang Merah Kebangsaan.

“Setiap hari kami dapati banyak kemusnahan disebabkan Taufan Idai dan ia lebih buruk dari apa yang kami bayangkan,” kata ketua subdelegasi ICRC di Beira, Mozambique, Hicham Mandoudi.

Bandar di pantai Beira masih digenangi air banjir dan menyukarkan kerja-kerja pengebumian dijalankan menyebabkan rumah mayat di hospital utama di bandar ini penuh.

Sementara itu, Program Makanan Dunia (WFP) mengatakan hujan lebat di wilayah Manicaland dan Masvingo, Zimbabwe terus menyebabkan kemusnahan teruk.

Jurucakapnya, Herve Verhoosel berkata 90 peratus daerah di Chimanimani musnah teruk dan dianggarkan 200,000 orang memerlukan bantuan makanan untuk tempoh tiga bulan akan datang.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Zimbabwe pula mendapati taufan itu telah menjejaskan daerah Chimanimani,

Chipinge, Masvingo dan Mashonaland Timur, menjejaskan lebih 50,000 penduduk.

Taufan yang mencetuskan bajir besar itu turut merosakkan sekurang-kurangnya empat jambatan.

Jumlah kematian dilaporkan 259 orang dengan ratusan lagi cedera manakala 217 masih hilang. — Bernama

Advertisement