Anda di sini

Mangsa kebakaran Kg Air terima sumbangan Ahli Parlimen Batu Sapi

Advertisement
LIEW ketika melawat tapak kebakaran terbabit.
LIEW ketika melawat tapak kebakaran terbabit.

SANDAKAN: Lebih 300 mangsa kebakaran daripada 42 keluarga dalam malapetaka yang berlaku di Kg Air pada 17 Mac lalu menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong.

Liew yang tiba di Dewan Serbaguna Kg Air bersama rombongan pegawai dari Pusat Perkhidmatan Rakyat Parlimen Batu Sapi turut meluangkan masa mendengar dan meninjau perkembangan terkini para mangsa yang ditempatkan di dewan berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Katanya, pihak Pusat Perkhidmatan Rakyat bagi kawasan berkenaan akan berusaha sedaya upaya bagi membantu meringankan permasalahan yang dihadapi oleh para mangsa, termasuk mendapatkan lokasi penempatan sementara yang lebih selesa.

"Para mangsa boleh membuat pilihan sama ada terus tinggal di dewan berkenaan buat sementara waktu atau pun menumpang di rumah saudara mara, selain berpindah ke tapak penempatan sementara yang terletak di Kg Sundang," katanya.

Liew yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berkata, proses bagi membaik pulih kawasan penempatan yang terbakar memerlukan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi, termasuk perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Bomba dan juga Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kehilangan jiwa, selain hanya membabitkan seorang mangsa yang melecur ketika kebakaran itu.

Sementara itu, antara sumbangan yang diagihkan adalah keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya termasuk sumbangan wang ringgit.

Turut hadir ialah Setiausaha Sulit Hanafiah Sahih Hj Montoi, Pegawai Perhubungan Adin Hj Ismail serta Ketua Kg Air Jaddil Aidil.

  • oleh
  • Advertisement