Anda di sini

Malaysia harap Pakistan beli lebih banyak minyak sawit

Advertisement

ISLAMABAD: Malaysia menyatakan harapan agar Pakistan akan terus mengimport lebih banyak minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit di samping menghapuskan sebarang sekatan bukan tarif ke atas barangan Malaysia.

Malaysia turut bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam industri halal dengan Pakistan, dengan kedua-dua negara menyedari perkembangan momentum produk halal dalam kalangan pengguna di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan bersama sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan mulai Khamis, Dr Mahathir dan rakan sejawatannya, Imran Khan menyatakan keinginan bersama mereka untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, mempertingkat perdagangan dan pelaburan selain mewujudkan persekitaran menggalakkan untuk perdagangan dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa hubungan sedia terjalin antara Pakistan dan Malaysia akan dipertingkatkan kepada perkongsian strategik sekali gus menandakan tahap kerjasama dua hala baharu antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang iaitu perdagangan minyak sawit, produk pertanian, runcit makanan, produk halal, komponen automotif, tenaga, sains dan teknologi, serta pelaburan telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, tahap perkongsian baharu ini akan merangkumi libat urus seterusnya dan peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak mengesahkan hasrat bersama mereka untuk mengekalkan hubungan peringkat tinggi yang erat, bertujuan mengukuhkan pertukaran lawatan dan kerjasama mesra dalam semua bidang di samping giat mempromosikan hubungan Pakistan-Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata Pakistan dan Malaysia mengesahkan kepentingan kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara.

“Kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman dalam bidang pelaburan dan kerjasama, khususnya dalam sektor telekomunikasi.

“Mereka juga mengakui bahawa pelaburan ini akan berperanan mempromosikan dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan tersebut.

Mengenai kerjasama penting dalam industri automotif antara Pakistan dan Malaysia, Dr Mahathir dan Imran Khan bersama-sama merasmikan upacara pecah tanah simbolik Proton di Pakistan, yang akan meningkatkan industri pembuatan dan perkhidmatan kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pihak mengesahkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang ditandatangani pada 8 Nov, 2007, dan mengalu-alukan perkembangan momentum dalam hubungan ekonomi dua hala.

“Mereka menekankan keperluan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama MPCEPA seterusnya secepat mungkin,” menurut kenyataan tersebut. — Bernama

Advertisement