Anda di sini

Mahathir, Imran Khan saksi upacara pecah tanah kilang Proton

Advertisement
 Tun Dr Mahathir (kiri) menyerahkan replika kunci kenderaan Proton X70 kepada rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan pada upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan pembuatan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton, di negara itu pada Jumaat. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Tun Dr Mahathir (kiri) menyerahkan replika kunci kenderaan Proton X70 kepada rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan pada upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan pembuatan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton, di negara itu pada Jumaat. — Gambar Bernama

ISLAMABAD: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan pada Jumaat menyaksikan upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan pembuatan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton, di negara itu.

Kilang pemasangan itu akan dibina berdekatan dengan Karachi, wilayah Sindh dan akan menjadi kilang pertama Proton di rantau Asia Selatan.

Terdahulu, mereka menghadiri mesyuarat meja bulat ketua-ketua industri dari Malaysia dan Pakistan di hotel yang sama.

Dalam ucapan semasa mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata beliau mahu mempromosikan Proton, dengan demikian akan memberi sebuah kenderaan Proton kepada Imran Khan.

“Ia bukan kerana saya mahu menyogok Perdana Menteri Pakistan tetapi saya mahu mempromosikan satu daripada produk Malaysia. Saya mahu memberi sebuah kereta Proton kepadanya,” katanya.

Perdana Menteri kemudian menyerahkan replika kunci kenderaan Proton X70 kepada Imran Khan.

Kedua-dua perdana menteri juga menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Pakistan.

Syarikat-syarikat yang terlibat ialah Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan Pakistan Mobile Communication Limited & Deodar Pvt. Ltd; Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan Telenor Pakistan Limited; dan Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan CMPAK Limited (Zong).

Dr Mahathir berada di sini sempena lawatan kerja selama tiga hari ke Pakistan bermula Khamis. — Bernama

Advertisement