Anda di sini

Komited pelihara hutan

Advertisement
 Awang Tengah menyempurnakan upacara penanaman pokok bersama Len (kiri) dan Hamden (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Bintulu, petang semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Talib, Dr Rundi serta yang lain.
HIJAUKAN BUMI: Awang Tengah menyempurnakan upacara penanaman pokok bersama Len (kiri) dan Hamden (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Bintulu, petang semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Talib, Dr Rundi serta yang lain.

BINTULU: Sarawak komited memelihara khazanah hutan dengan mengimbangi keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak melaksanakan dasar-dasar pemuliharaan hutan supaya tidak terdedah kepada pelbagai bencana alam seperti yang berlaku di banyak negara.

Menurut beliau, Sarawak masih berjaya mengekalkan 63 peratus kawasan hutan yang menyumbang 50 peratus kepada kawasan hutan Malaysia.

“Ia menunjukkan kita (Sarawak) mempunyai dasar yang berkesan dalam industri pembalakan, pengurusan hutan mampan dan melaksanakan pembaharuan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), petang semalam.

Turut hadir Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Bandar dan Sumber Asli Datu Wan Lizozman Wan Omar dan Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad.

Hadir sama, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Hashim Bojet, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohammad Aton, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Profesor Dr M Iqbal Saripan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi.

Awang Tengah berkata, sebagai langkah untuk memastikan sumber air terpelihara, kerajaan negeri juga telah menambah keluasan kawasan Heart of Borneo (HoB) daripada 2.1 juta hektar kepada 2.7 juta hektar.

Ia merupakan kawasan tadahan air terbesar bukan sahaja untuk minuman dan kegunaan domestik, bahkan berpotensi untuk membangunkan empangan yang menjana tenaga hijau, antaranya Bakun, Murum, Batang Ai dan Baleh, jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, keadaan itu dapat mempercepatkan proses pembangunan perindustrian yang menyokong projek-projek industri di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Samalaju misalnya, telah  mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) RM30 bilion daripada pelabur dalam dan luar yang telah beroperasi setakat ini, katanya.

“Ada banyak lagi pelabur akan memasuki negeri ini memandangkan kita menawarkan tarif elektrik kompetitif kerana kita mempunyai tenaga hidro yang mampu membekalkan keperluan kepada industri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata, kerajaan negeri telah membangunkan pernyataan dasar penggunaan tanah Sarawak 2012 yang memperuntukkan tujuh juta hektar untuk sektor perhutanan dan enam juta hektar untuk estet hutan kekal dan satu juta hektar untuk kawasan terlindung sepenuhnya (TPA).

“Empat juta hektar pula diperuntukkan untuk tujuan pertanian yang mana tiga juta hektar untuk estet perladangan kelapa sawit dan pengusaha kecil-kecilan,  

satu juta hektar lagi untuk tanaman seperti lada, getah, kelapa dan lain-lain dengan bakinya untuk kegunaan lain antaranya penempatan semula,projek hidroelektrik dan sebagainya,” katanya.

Awang Tengah berkata, kerajaan komited untuk mengurus hutan dengan baik demi generasi akan datang, justeru pemilihan tema sambutan ‘Hutan dan Pendidikan’ amat bertepatan untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah hutan, udara dan air untuk kehidupan.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan telah mewartakan 816,170.40 hektar kawasan tanah dan 1.24 juta hekatar kawasan berair sebagai TPA dan kerajaan negeri menyasar untuk mewartakan seluas satu juta hektar tanah sebagai TPA menjelang 2020.

“Kita bersyukur dengan adanya dasar perhutanan negeri, kita dapat mengekalkan sumber kekayaan negeri ini dan Sarawak antara tiga terbaik dalam dasar pemuliharaan hutan,” katanya.

Beliau turut menggesa organisasi dan agensi perhutanan termasuk masyarakat keseluruhannya untuk bekerjasama membanteras pembalakan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerajaan hilang royalti bahkan mengancam alam sekitar.

Pada majlis itu, turut diadakan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkenaan kerjasama penyelidikan perhutanan (hutan asli dan hutan ladang) dan beberapa acara lain.

  • oleh
  • Advertisement