Anda di sini

Kes tibi di Sarawak meningkat 70 peratus dalam tempoh 10 tahun

Advertisement
 Dr Jamilah bersama kakitangan JKN Sarawak menunjukkan risalah mengenai penyakit tibi.
TINGKAT KESEDARAN: Dr Jamilah bersama kakitangan JKN Sarawak menunjukkan risalah mengenai penyakit tibi.

KUCHING: Kes penyakit tibi di Sarawak dilaporkan meningkat 70 peratus dalam tempoh sepuluh tahun sejak 2008.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, setiap tahun bilangan purata kes dicatat meningkat lebih enam peratus.

“Statistik sepanjang tempoh 2008 hingga 2018 mendapati peningkatan kes penyakit tibi daripada 1,821 kepada 3,121 kes membabitkan peningkatan 70 peratus,” ujarnya ketika ditemui media pada program larian sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia 2019 di sini, semalam.

Dr Jamilah berkata, penyakit berjangkit yang boleh membawa maut itu adalah disebabkan jangkitan kuman yang dinamakan ‘mycobacterium tuberculosis.’

“Dalam tempoh 2018 sahaja, sebanyak 249 kes kematian akibat tibi dilaporkan di negeri ini,” katanya sambil menambah, tanda-tanda awal penyakit tibi ialah batuk berpanjangan, demam waktu malam, berpeluh, hilang selera makan, kurang berat badan dan batuk berdarah.

Ditanya kawasan yang dilaporkan kes penyakit tibi paling tinggi di negeri ini, Dr Jamilah memberitahu Kuching ekoran populasi penduduknya yang ramai.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai terutama penghidap tibi dan orang yang rapat dengan pesakit itu supaya sentiasa menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan bagi memastikan mereka bebas daripada virus tibi.

“Seorang pesakit tibi mudah menjangkiti sehingga 15 orang yang berada di sekelilingnya.

“Maka, pembawa penyakit ini perlu dipantau rapi sebelum ia menjangkiti orang lain,” katanya sambil memberitahu penyakit tibi dapat diubati dan dicegah jika pengesanan awal dibuat.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit tibi, JKN akan mengadakan program berterusan di seluruh Sarawak.

“Harapan kita dengan mengadakan program berterusan seperti mendidik atau memberi rawatan dan sebagainya, maka kurang rakyat terkesan daripada penyakit tibi,” ujarnya.

Terdahulu, majlis menyaksikan lebih 1,200 orang menyertai program larian itu yang disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

  • oleh
  • Advertisement