Anda di sini

Jangan cepat salahkan guru jika anak tidak berjaya dalam pelajaran

Advertisement
 Aries (tiga kiri) menerima cenderahati bagi mewakili Ting.
TANDA PENGHARGAAN: Aries (tiga kiri) menerima cenderahati bagi mewakili Ting.

MIRI: Ibu bapa tidak harus cepat melatah dan menuding jari menyalahkan guru jika anak-anak tidak berjaya dalam pelajaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, dalam hal ini ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada pihak sekolah.

“Perlu kita sedar bahawa masa anak-anak di sekolah hanya enam jam sehari, manakala masa mereka di rumah dan di bawah pengawasan ibu bapa lebih kurang 18 jam.

“Maka tidak wajarlah untuk terus menuding jari menyalahkan guru-guru di sekolah jika anak-anak kita tidak berjaya dalam pelajaran.

“Sebagai ibu bapa hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah untuk kebaikan anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang Ke-24 Tahun 2019 di Dewan Suarah Miri semalam yang dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Aries Leong.  

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Guru Besar SK Jalan Bintang Ahmad Othman dan Yang Dipertua PIBG sesi 2017 hingga 2019 Mohd Farez Samin.

Ting berkata, dalam dunia mencabar dan penuh persaingan ini, pendidikan merupakan perkara penting yang mampu mengubah taraf hidup setiap individu.

“Dengan ilmu pengetahuan kita juga mampu meningkatkan keupayaan ekonomi, politik, sosial dan agama.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mendapat ilmu pendidikan yang sempurna,” ujarnya.

Sementara itu, Ting berkata, kehadiran ibu bapa kepada murid-murid SK Jalan Bintang dalam mesyuarat tersebut mencerminkan komitmen dan hubungan silaturahim yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah.

“Saya cukup yakin dan percaya kehadiran para ibu bapa yang berada di hadapan saya ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pihak sekolah.

“Senario ini secara tidak langsung akan memudahkan pihak PIBG bekerjasama dan membantu melancarkan perlaksanaan segala program dan aktiviti yang telah dirancang pihak sekolah,” katanya.

Advertisement