Anda di sini

Dewan Terbuka bakal beri manfaat kepada komuniti usahawan Kabong

Advertisement
 Mohd Chee bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan Majlis Simbolik Menaikan Tiang Dewan Terbuka di Town Square Kabong, semalam.
KEMUDAHAN RAKYAT: Mohd Chee bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan Majlis Simbolik Menaikan Tiang Dewan Terbuka di Town Square Kabong, semalam.

KABONG: Dewan Terbuka di Town Square Kabong yang dijangka siap tidak lama lagi bakal memberi kemudahan lebih selesa kepada golongan petani, penternak dan usahawan setempat untuk memasarkan produk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, kemudahan itu bakal memberi impak positif terhadap ekonomi penduduk Kabong dan sekitar, terutama mereka yang bergiat dalam aktiviti pertanian dan perikanan.

“Kemudahan ini bakal memberikan keselesaan kepada masyarakat kita dalam aktiviti perniagaan kerana sebelum ini tiada kemudahan khas kepada mereka untuk memasarkan hasil.

“Justeru, kita berharap apabila kemudahan ini siap nanti akan mampu menarik lebih ramai lagi masyarakat luar untuk berkunjung ke daerah Kabong untuk mencari produk-produk tempatan kegemaran mereka,” ujarnya pada Majlis Simbolik Menaikkan Tiang Dewan Terbuka di Town Square Kabong, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Kabong Mohd Rashdan Hazemi serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Sehubungan itu, Mohd Chee berharap masyarakat dapat mengintai peluang yang bakal wujud apabila kemudahan itu siap nanti.

“Gunakan peluang yang ada dengan cara yang terbaik serta jagalah tempat ini nanti dengan sebaik yang mungkin terutama dari aspek kebersihan,” katanya.

Dewan Terbuka di Town Square Kabong dijadual siap sepenuhnya pada penghujung April depan.

Advertisement