Anda di sini

Cara berfikir dan sikap bentuk usahawan berjaya

Advertisement
 Roydy ketika mengendalikan Bengkel Usahawan 1.0 di Miri, semalam.
BERSEMANGAT: Roydy ketika mengendalikan Bengkel Usahawan 1.0 di Miri, semalam.

MIRI: Cara berfikir untuk maju dan sikap inginkan kejayaan adalah elemen penting dalam membentuk peribadi usahawan berjaya.  

Berkongsi pendapat, usahawan Roydy Ismail, 30, berkata, pemikiran mahu untung cukup-cukup harus diubah sebaliknya memfokus kepada usaha mengembangkan jualan dan menghasilkan produk lebih berdaya saing.

“Antara cabaran dihadapi peniaga kecil kita ialah kurangnya semangat bersaing dan tidak yakin dengan produk jualan mereka.

“Mindset (cara berfikir) hanya mahu untung cukup-cukup. Mindset ini perlu kita ubah sekiranya kita mahu memperluaskan perniagaan kita dan mahu berjaya seperti usahawan-usahawan lain,” jelasnya.

Roydy ditemui selepas mengadakan Bengkel Usahawan 1.0 disertai lebih 30 peserta dari Miri dan Bekenu yang julung kali dianjurkan oleh beliau di salah sebuah hotel di sini semalam.

Berpengalaman 10 tahun dalam perniagaan, Roydy yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RBI Marketing Sdn Bhd dan Pengasas Tusan Ice Cream Malaysia kerap dijemput untuk sebagai penceramah jemputan oleh penganjur di Miri dan luar.

Menurutnya, antara objektif bengkel adalah untuk memberi pendedahan ilmu asas perniagaan kepada mereka yang mahu menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.

Selain cara berfikir dan sikap, bakal peniaga juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu perniagaan sebagai persediaan awal berdepan masalah dan persaingan.

Ilmu membolehkan seorang peniaga menangani masalah dengan baik dan tidak berputus asa mencari jalan penyelesaian.

“Kepada peniaga baharu dan usahawan muda, pertama sekali, cari ilmu. Dengan ilmu yang baik boleh meningkatkan perniagaan. Kita kena cari ilmu. Dengan ilmu, kita akan rasa yakin dan tahu cara yang betul ketika berniaga,” nasihatnya.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang, usahawan disaran memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk memperkenalkan dan memasarkan produk.

Seiring pembangunan ekonomi digital yang dibangunkan kerajaan negeri sekarang, peniaga juga digalak terlibat dalam perniagaan dalam talian.

Tentang modal, Roydy berkata, peniaga boleh bermula dengan modal kecil yang boleh diperolehi daripada pinjaman atau simpanan.

Mereka boleh bermula dari menjadi stokis atau ejen produk atau berniaga gerai.

Persaingan dalam perniagaan akan terus wujud bergantung kepada cara peniaga untuk menjadikan produk lebih berdaya saing dan bertahan.

“Dari bengkel ini, kita ajar strategi pemasaran supaya mereka tidak tersilap langkah. Kita ajar peserta bangunkan pasukan perniagaan, kepentingan kakitangan, penjenamaan, aliran tunai serta pengurusan kewangan,” jelas beliau.

Roydy berkata, beliau merancang untuk menganjurkan bengkel sama di Bintulu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Advertisement