Anda di sini

Cabaran dihadapi PDRM tidak seperti dahulu - KPN

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perubahan masa dan teknologi terutama penggunaan media sosial yang meluas memberi cabaran buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (gambar) berkata perubahan yang berlaku membuatkan pasukan keselamatan itu sentiasa perlu melengkapkan kepakaran dalam pelbagai aspek. 

“Kegiatan penipuan sudah berubah daripada cara konvensional kepada cara lebih kompleks bukan sahaja bersifat domestik tetapi merentasi sempadan. 

“Misalnya, dahulu orang main judi guna daun terup tetapi kini bertaruh secara dalam talian, yang kedua merekrut pengganas tidak perlu jumpa secara fizikal...love scam yang kita tidak fikir sebelum ini mengakibatkan kerugian berbilon ringgit,” katanya dalam temu bual khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 Tahun 2019. 

Justeru, beliau berkata PDRM meningkatkan kerjasama dan kolobrasi bersama pasukan keselamatan negara lain bagi membendung kegiatan jenayah berkenaan.

Selari dengan tema Peringatan Hari Polis iaitu Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, Mohamad Fuzi berkata bagi mengurangkan kadar jenayah pihaknya sentiasa mengadakan perjumpaan dengan masyarakat untuk berkongsi maklumat bagi membolehkan tindakan diambil. 

“Polis telah mengadakan libat urus bersama masyarakat misalnya mengadakan Program 1Masjid 1Polis (1M1P)…arahan serupa saya telah berikan kepada pegawai-pegawai bukan beragama Islam untuk libat sama dengan pihak gereja dan kuil di seluruh negara agar mereka jadi mata dan telinga kepada PDRM dalam menyalurkan apa sahaja maklumat berkaitan jenayah.

“Dalam kami melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa utama negara menangani pelbagai isu keselamatan termasuk jenayah dan lain-lain kami masih memerlukan sokongan dan dukungan rakyat di semua peringkat bagi memastikan negara kita terus aman, stabil dan kekal selamat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata  kadar jenayah di negara ini menurun setiap tahun bagaimanapun tahap persepsi rasa selamat rakyat belum berada pada tahap yang memuaskan. 

“Saya telah arahkan pihak R&D (penyelidikan dan pembangunan) PDRM melalui kelulusan Kementerian Dalam Negeri melakukan penyelidikan khusus tentang perkara ini (persepsi rasa selamat), ia dikendalikan oleh badan bebas yang tidak ada kena mengena dengan pasukan,” katanya sambil memberitahu kadar jenayah tahun lepas mencatat penurunan 11.9 peratus. 

Sementara itu, Mohamad Fuzi berharap semua anggota dan pegawainya mempunyai integriti yang tinggi dan bebas daripada gejala rasuah. 

Beliau berkata peringatan telah diberikan dari semasa ke semasa dan mana-mana anggota atau pegawai yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas sekiranya mereka terbukti bersalah. 

“...beberapa hari lalu saya pun amat kecewa apabila ada anggota ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana terlibat dengan pusat maksiat. 

“Saya mahu semua orang bersih…saya tidak mahu rasuah jadi budaya apabila ini berlaku akan rosak organisasi dan jejaskan prestasi pasukan ini,” ujarnya. - Bernama 

Advertisement