Anda di sini

Masyarakat diajak terus sokong program kebudayaan ASADIA

Advertisement
 Peserta ngajat ASADIA dan wakil Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hoe Khor merakamkan gambar bersama Mabong (lima kanan).
AKTIF: Peserta ngajat ASADIA dan wakil Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hoe Khor merakamkan gambar bersama Mabong (lima kanan).
 Mabong (berdiri tengah) merakamkan gambar bersama peserta kelas betaboh ASADIA di Batu Gong, Siburan.
MENGGALAKKAN: Mabong (berdiri tengah) merakamkan gambar bersama peserta kelas betaboh ASADIA di Batu Gong, Siburan.
 Peserta betaboh ASADIA memberi perhatian kepada cara-cara memainkan alat muzik Iban oleh pengajar.
TEKUN: Peserta betaboh ASADIA memberi perhatian kepada cara-cara memainkan alat muzik Iban oleh pengajar.

AKADEMI Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) mengajak masyarakat untuk terus menyokong program-program kebudayaan anjuran akademi tersebut.

Ketua ASADIA, Mabong Unggang berkata, sokongan masyarakat amat penting untuk mencapai matlamat akademi iaitu memelihara dan memulihara adat budaya tradisi masyarakat Dayak.

“Akademi kini sedang membuka tiga kelas kebudayaan iaitu sulaman Manik Empang atau Tangu, kelas ngajat dan kelas betaboh di Batu Gong, Siburan.

“Kelas sulaman manik ini merupakan siri yang keempat dan berlangsung pada setiap hari Selasa bermula jam 7.00 malam bertempat di Ibu Pejabat SADIA di Kota Sentosa di Kuching.

“Manakala kelas ngajat Batu Gong, Siburan dibuka pada hari Khamis dan Jumaat bermula dari jam 7.00 malam hingga 9.00 malam di Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hoe Khor,” katanya.

Tambah Mabong, kesemua kelas kebudayaan yang dianjurkan ini bertujuan untuk memelihara dan memartabatkan lagi seni warisan budaya tradisi masyarakat Dayak khususnya Iban.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam menjayakan program-program akademi sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Mabong turut mengajak masyarakat untuk sama-sama hadir menyokong majlis tamat kelas ASADIA pada 4 Mei depan di Pusat Ecumenical Kristian, Jalan Stampin di Kuching.

ASADIA pada majlis itu nanti juga akan melancarkan program kebudayaan terbaharu akademi itu memartabatkan seni Belikan.

Belikan merupakan salah satu seni muzik tradisi Iban yang menyerupai alat muzik sape dan hampir pupus dalam kalangan generasi masa kini.

  • oleh
  • Advertisement