Anda di sini

Kes Ahmad Zahid ditetapkan 18 hari, bermula 8 Julai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 20 saksi pendakwa akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditetapkan selama 18 hari di Mahkamah Tinggi di sini bermula 8 Julai ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan nilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh 8 Julai hingga 11 Julai, 15 hingga 17 Julai juga 5 Ogos hingga 8 Ogos serta 19 hingga 22 Ogos dan 10 hingga 12 Sept untuk perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh itu semasa sebutan kali pertama kes itu semalam selepas kes itu dibenarkan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zahid, 66, juga mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas ia dibacakan satu persatu kepadanya yang mengambil masa hampir sejam.

“Faham pertuduhan. Saya tak mengaku,” kata Ahmad Zahid yang berdiri dalam kandang tertuduh semasa ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan dan pengakuannya.

Hakim Collin juga menetapkan 9 Mei untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak terlibat memaklumkan perkembangan  penyerahan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan 800 dokumen kes itu kepada pasukan pembelaan yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik.

Ditanya Hakim Collin berapa banyak lagi dokumen yang akan diserahkan kepada pasukan pembelaan, Raja Rozela berkata: “Ada beberapa lagi”.

Raja Rozela juga memaklumkan setakat ini pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Hisyam turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan satu atau dua permohonan berhubung kes yang dihadapi anak guamnya.

Pada 21 Feb, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi berikutan pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan itu.

Pada 19 Okt dan 14 Dis 2018 serta 20 Feb 2019, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa telah menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di bank sama antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016.

Bagi  lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh  menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah  Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Dia didakwa mengikut  Seksyen 4(1)(a)  Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement