Anda di sini

Himpunan Solidariti: Ribuan rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka

Advertisement
Peserta Perhimpunan Solidariti Kedamaian meletakkan kad bermesej kedamaian dan jambangan bunga ketika berkumpul di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak sebarang amalan kebencian. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama hari ini bersatu hati berkumpul di Dataran Merdeka bagi melahirkan suara keamanan serta menolak keganasan terutama keganasan melampau.

Rata-rata mereka yang memakai baju putih berkumpul seawal 6.30 pagi dan berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka, sejauh kira-kira tiga kilometer.

Perhimpunan Solidariti Kedamaian anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) untuk semua rakyat Malaysia itu diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia Muhamad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Perhimpunan dimulakan dengan peserta membaca doa dan bertafakur kira-kira dua minit bagi memperingati mangsa-mangsa tragedi serangan di dua masjid pada Jumaat 15 Mac lepas itu.

Perhimpunan Solidariti Kedamaian bertujuan membawa mesej kepada dunia bahawa rakyat Malaysia mahukan keamanan dan menolak sebarang keganasan. - Gambar Bernama 
Perhimpunan Solidariti Kedamaian bertujuan membawa mesej kepada dunia bahawa rakyat Malaysia mahukan keamanan dan menolak sebarang keganasan. - Gambar Bernama 

Di Dataran Merdeka wakil-wakil agama antaranya Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Christian Federation of Malaysia Julian Leow; Malaysian Gurdwaras Council Sardar Jagir Singh; dan Bahai Community of Malaysia S Sanggita menyampaikan ucapan  yang senada menolak keganasan.

Turut berucap Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia  Hunter Nottage; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowsk; dan Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci serta Zarina Shuib iaitu ibu saudara Muhammad Haziq, sebagai wakil keluarga mangsa dalam tragedi di Christchurch itu.

“Malang sekali mangsanya termasuk rakyat Malaysia… ingatan kami sentiasa bersama anda, keluarga anda yang sebahagian daripadanya berada di sini, dan komuniti anda. Kami mohon maaf.

”Kita berkabung bersama-sama, kita berdiri bersama-sama atas nama perpaduan dan New Zealand amat berterima kasih kepada Malaysia,” kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand itu yang memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu.

 Peserta Perhimpunan Solidariti Kedamaian memegang plekat dan jambangan bunga ketika berkumpul di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak kebencian. - Gambar Bernama

Peserta perhimpunan turut memberikan penghormatan sambil berdiri kepada waris keluarga Muhamad Haziq sebaik mereka menaiki pentas utama. Zarina dilihat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan terima kasih dan rasa terharu akan sokongan  rakyat Malaysia. 

“Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan itu...walaupun berat ujian ini namun kami ahli keluarga reda.

“Kami akan menyokong usaha ini bagi menyatakan kebersamaaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” kata Zarina.

Pesuruhjaya Tinggi Australia dalam ucapannya pula berkata: “Memang benar keganasan tidak mempunyai agama, ia tidak mempunyai kewarganegaraan, tetapi hakikatnya dalam kes ini, pengganas itu seorang warga Australia. 

Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berkumpul di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak amalan kebencian. - Gambar Bernama
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berkumpul di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak amalan kebencian. - Gambar Bernama

“Perkara ini amat memalukan kami, tetapi jika dia bertindak sedemikian dengan tujuan untuk memisahkan kita, dia sebenarnya telah gagal sama sekali dan perhimpunan ini membuktikannya.”

Pada akhir perhimpunan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengetuai membaca satu deklarasi iaitu Deklarasi Kedamaian KL 2019,  yang antara lain -- Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama; 

Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama; dan Mendukung segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama.

Perhimpunan kira-kira dua jam itu berjalan dalam suasana penuh harmoni yang jelas menunjukkan rakyat Malaysia keseluruhannya cintakan keamanan, kedamaian dan menolak keganasan.

“Alhamdulillah semua terkawal, kesemua peserta patuh arahan polis dari semasa ke semasa,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shahrudin Abdullah, sambil memberitahu, 200 anggota dan pegawai bertugas sepanjang perhimpunan itu. - Bernama 

Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berarak dari Sogo dan berhimpun di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar Bernama
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berarak dari Sogo dan berhimpun di Dataran Merdeka hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement